Berita

DAP ulangi komitmen pertahan Perlembagaan Persekutuan, umum 6 langkah pemurnian Malaysia

PETALING JAYA, 29 SEPT: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk turut serta dalam projek Impian Malaysia yang memberi tumpuan kepada reformasi sistem demi meletakkan Malaysia kembali ke landasan yang sepatutnya.

Menurut beliau Impian Malaysia merupakan sebuah projek yang memberi fokus kepada beberapa cabang penting negara iaitu meletakkan demokrasi berteraskan rakyat, memaksimukan urus tadbir kerajaan, kerajaan minima dan pendidikan masyarakat ke arah perpaduan, integriti dan kemahiran.

Guan Eng menekankan, antara langkah membawa Malaysia ke arah yang lebih baik ialah berpegang kepada konsep ‘Jalan Tengah Malaysia’ yang dibawa parti.

“Kita mahu politik yang sederhana dan inklusif. Kita ingin mengulangi Deklarasi Shah Alam yang diterima semasa Persidangan Kebangsaan pada Januari 2012 yang menunjukkan komitmen DAP untuk menjulang Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau mengulangi bahawa DAP akan terus berpegang kukuh untuk mengangkat sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja-raja Melayu, mengekalkan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera pada masa yang sama turut mempertahankan hak sah kaum-kaum lain.

“DAP akan terus mempertahan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan, menjaga kebebasan beramal agama-agama lain, menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, menggalakkan penggunaan dan pembelajaran Bahasa Inggeris dan bahasa ibunda serta mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi saksama di dalam Persekutuan Malaysia,” tegas beliau.

Selain itu adalah memperbaharui keyakinan kita dengan cita-cita Merdeka sebagai bangsa Malaysia di mana kita berusaha bukan sahaja untuk bebas daripada penindasan tetapi juga bebas daripada belenggu kemiskinan, bebas daripada gejala rasuah dan bebas dari kejahilan.

“Kita ingin kehidupan yang bebas dan bermaruah. Kita mahu menjadi bangsa yang bersatu, yang mempunyai hubungan antara satu sama lain sebagai bangsa Malaysia. Ingatlah bahawa jika kita orang Malaysia, maka kita adalah orang Malaysia, tidak kira siapa pun kita dan dari mana asal usul kita. Apa yang penting ialah siapa sebenarnya kita. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh,” kata beliau.

Beliau berkata langkah seterusnya adalah pendemokrasian politik yang memerlukan reformasi menyeluruh terhadap sistem pilihanraya yang bersih dan adil, prosess desentralisasi, mewujudkan kedaulatan undang-undang dan memperkukuh akauntabiliti dengan menyediakan kebabasan maklumat dan media yang bebas kata beliau.

Ia termasuklah pendemokrasian ekonomi yang menuntut supaya bukan sahaja pertumbuhan dibantu tetapi juga untuk menghentikan ketirisan seperti rasuah dan ketidakcekapan serta membantu ketaksamaan sosial dan memastikan wujudnya pembangunan lestari.

“Kita juga mahu memberi fokus untuk menyelesaikan hutang kerajaan Malaysia yang tinggi iaitu 70 peratus daripada KDNK termasuk liabiliti luar jangka dan hutang isi rumah 83.5 peratus dari KDNK.,” ujarnya.

Menurut beliau, Malaysia terperangkap dalam jerat pendapatan sederhana, dengan kemahiran rendah, produktiviti rendah dan gaji yang rendah.

“Kenapa pula keuntungan perbankan dibenarkan meningkat sedang kosnya ditanggung keterhutangan yang meningkat? Menambah gaji sebenar untuk pekerja tempatan dan membantu industri berskala kecil dan sederhana dengan bantuan kewangan adalah lebih penting berbanding melaksanakan gaji minima untuk pekerja asing,” tegasnya lagi.

Juga turut disentuh ialah kepentingan menjadikan DAP sebagai parti pilihan wanita dan anak muda.

“Pakatan Rakyat (PR) telah berjaya menangkap imaginasi anak muda dengan memperkasakan mereka dengan ilmu mengenai hak, kebebasan, kemahiran dan tanggungjawab tetapi masih belum berjaya menarik minat wanita.

“Tanpa sokongan wanita, PR tidak boleh berharap untuk menang. Seharusnya ada program yang sistematik yang disasarkan terhadap wanita sama ada dalam bentuk bantuan tunai seperti RM100 untuk surirumah, pemeriksaan mammogram percuma atau penubuhan Briged Wanita seperti yang dilakukan di Pulau Pinang,” ujar beliau. – Roketkini.com