Rencana

Impian UMNO berderai: Catatan pendek pemilihan semula CEC Oleh Hafiz Zainuddin

CUBAAN melenyapkan DAP dari demografi politik Malaysia gagal. Pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP seperti yang dipaksa Pendaftar Pertubuhan (ROS) selamat diadakan dengan jayanya.

Apa yang menarik, kedudukan jawatankuasa ini bertambah kukuh apabila pimpinan yang dipilih pada Kongres DAP Kebangaan Disember tahun lalu kekal menerajui parti.

Biarpun wujud perbezaan jumlah undi kepada calon-calon yang bertanding. Perbezaan itu sama sekali tidak mengubah kedudukan mereka dalam 20 senarai tertinggi CEC malah apa yang menarik, barisan CEC yang dipilih semula ini menunjukkan keterbukaan dan persefahaman yang cukup matang.

Jawatan Pengerusi DAP Kebangsaan dan Setiausaha Agung DAP yang menjadi bualan ramai pihak terus kekal disandang oleh Karpal Singh dan Lim Guan Eng walaupun wujud sedikit perubahan pada jumlah undi yang diperoleh. Liew Chin Tong yang memberikan kejutan dengan undi tertinggi juga masih mengekalkan jawatan beliau sebagai Pengarah Pendidikan Politik DAP.

Undi kepada calon Melayu meningkat

Dalam risik sembang para perwakilan, antara pimpinan muda yang menjadi sebut-sebutan, Zairil Khir Johari juga tidak kurang hebat apabila mencipta sejarah meletakkan kedudukannya yang sebelum ini di tangga ke 20 dalam CEC berada di tempat ke 12.

Ia merupakan satu tamparan k-o kepada momokan media kawalan UMNO dan kelompok bebal yang mengatakan orang Melayu terpinggir dalam DAP. Bahkan, isu sedemikian tidak wajar timbul memandangkan ideologi parti yang jelas berpegang pada prinsip Malaysia untuk rakyat Malaysia.

Bukan sahaja Zairil, peningkatan undi juga turut berlaku kepada beberapa nama yang menjadi perhatian iaitu Senator Dr Ariffin Omar yang dahulunya memperoleh 348 undi dan Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji dengan 121 undi. Kini masing-masing memperoleh 441 undi dengan peningkatan yang signifikan dengan masa.

Suasana yang berlaku ini secara langsung membuktikan bahawa para perwakilan tetap dengan pendirian mereka walaupun pihak ROS, Barisan Nasional (BN) dan media khususnya Utusan Malaysia tidak jemu-jemu menjadi tukang karut membuat tuduhan semberono mengaitkan Pemilihan CEC pada Disember tahun lalu sebagai terpalit dengan penipuan dan manipulasi undi.

Habuan buat masyarakat Dayak dan KDM

Bak kata Setiausaha Agung Lim Guan Eng, biar pun berhadapan dengan krisis terburuk sepanjang sejarah parti, pemilihan semula ini bukan sekadar pemilihan bagi memenuhi nafsu serakah ROS malah menjadi pengukuh hubungan dua negeri penting di Malaysia Timur, Sabah dan Sarawak.

DAP bakal menjalinkan hubungan yang lebih istimewa dengan masyarakat bumiputera di negeri kepulauan Borneo itu melalui penubuhan dua badan khas iaitu Majlis Perundingan Dayak dan Majlis Perundingan KDM (Kadazan Dusun Murut) yang dipengerusikan masing-masing oleh Dr John Brian Anthony dan Dr Edwin Bosi.

Penubuhan dua majlis ini pada masa yang sama dilihat mampu memberikan impak yang besar kepada keputusan pilihan raya di dua negeri Malaysia Timur apa lagi DAP melalui projek Impian Malaysia telah pun melancarkan projek Impian Sarawak dan Impian Sabah yang bakal menyusul. Di sini, DAP secara langsung menjadi pengukuh ikatan dua tanah besar yang dipisahkan Laut Cina Selatan.

Apa lagi selepas ini?

Urusan terpenting DAP telah selesai. Dengan kejayaan parti menolak ketepi injunksi penangguhan pemilihan semula Jumaat lalu, dengan pengukuhan hiraki kepimpinan parti disertai oleh kehadiran perwakilan yang tidak kurang memberangsangkan, persoalannya kini berbalik semula kepada ROS, UMNO dan media kawalan mereka.

Adakah mereka mampu menerima hakikat kejayaan DAP ini? Atau adakah kempen serangan jahat memburukkan DAP ini jahat akan berterusan? Adakah ROS akan memohon maaf akibat segala macam risiko, tomahan dan persepsi negatif yang telah menyusahkan DAP? Atau, semakin kuatkah UMNO-BN dengan menganiaya DAP?

Apapun jawapannya, sebagai sebuah parti yang jujur dan komited dengan perjuangan, kita boleh berpegang pada kata saudara pengerusi Karpal Singh, “Jangan main-main dengan DAP…” Yang pasti, UMNO-BN akan terus terjerat dengan mainan mereka. Bagaimana mungkin DAP, parti yang setiap detik dimangsakan ini begitu bodoh?. – Roketkini.com