Berita

DAP anggap UMNO hina polis arah jaga peti undi pemilihan

KUALA LUMPUR, 1 OKT: DAP menggesa UMNO tidak menghina pasukan polis dengan menjadikan mereka sebagai penjaga peti undi pada persidangan agung parti itu tidak lama lagi.

“Polis bukan pengawal keselamatan,” kata Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas laporan Bernama yang melaporkan bahawa pihak polis akan ditugaskan untuk memastikan kertas undi selamat diedarkan kepada semua bahagian parti itu di seluruh negara.

Steven Sim berkata, salah guna kuasa tidak sepatutnya berlaku kerana tugas sebenar polis adalah memastikan keselamatan masyarakat dan persekitaran terjamin, bukannya berkhidmat untuk sebuah parti politik.

“Sebab itu kami tidak hairan apabila Tranparency International Malaysia pada Julai lalu melaporkan bahawa pasukan polis dan parti politik negara ini adalah dua badan yang paling korup,” jelasnya.

Tambahnya, UMNO sememangnya terpaksa menggunakan pasukan polis demi meneruskan agenda politik mereka dan akhirnya menyebabkan budaya salah guna kuasa berterusan.

Selain polis, beliau pada masa yang sama meminta UMNO supaya berhenti menyalahgunakan jentera kerajaan untuk berpolitik.

“Satu-satunya langkah untuk menghentikan salah guna kuasa ini ialah dengan menyahut seruan Suruhanjaya Diraja 2005 bagi menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC),” kata beliau.-Roketkini.com