Berita

DAP cabar Mukhriz ulangi pendirian perkauman pada PRK DUN Sungai Limau

KUALA LUMPUR, 1 OKTOBER: DAP mencabar Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir mengulangi pendiriannya ‘tidak perlukan undi Cina’ pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau. Kedah.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok berkata, kedegilan Mukhriz itu ternyata tidak menghormati proses demokratik.

“Saya mencabar Mukhriz mengulangi sekali lagi kenyataan beliau itu ketika PRK DUN Sungai Limau nanti.

“Ia adalah satu pendirian yang tidak demokratik dan tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam kenyataan.

Mukhriz baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila menyatakan pentabdirannya hanya akan menumpukan pada sekolah kebangsaan daripada majoriti Melayu.

Utusan Malaysia dan China Press melaporkan, Mukhriz mempertahankan tindakan beliau dengan menegaskan keutamaannya hanya kepada penyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau juga mendakwa langkahnya itu wajar kerana Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang turut mengamalkan diskriminasi.

“Saya cabar beliau kemukakan bukti bilakah Kerajaan Pulau Pinang membuat kenyataan hanya akan memberi keutamaan kepada pengundi dan penyokong DAP sahaja? Atau mengamalkan polisi menindas?,” soalnya. -Roketkini.com