Berita

Jawatankuasa Perlembagaan DAP dibentuk kaji keperluan pindaan

KUALA LUMPUR, 1 OKTOBER: Jawankuasa Eksekutif Pusat (CEC) mengumumkan pembentukan jawatankuasa perlembagaan parti yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook.

Jawatankuasa berkenaan dianggotai 10 ahli iaitu Gobind Singh. Vincent Wu, Thomas Su, M. Kulasegaran, Chong Chien Jen, Jimmy Wong Sze Phin, Teo Nie Ching, Zairil Khir Johari dan Ngeh Khoo Ham.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mengumumkan senarai jawatankuasa berkenaan di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP, semalam berkata, jawatankuasa itu dibentuk untuk mengkaji jika wujud sebarang keperluan pindaan terhadap perlembagaan parti.

Menurut beliau, penubuhan jawatankuasa itu adalah proses biasa disebabkan perubahan dalam struktur parti supaya parti dapat mengikut rentak semasa.

“Ada banyak bahagian yang wajar diberi perhatian, satu daripadanya soal notis. Zaman dulu, perkara bergerak dengan lebih perlahan maka memerlukan notis yang lebih panjang.

“Tapi sekarang sudah zaman internet. Jadi ini antara perkara yang kita akan beri perhatian,” ujar Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang. – Roketkini.com