Berita

Konvensyen DAP negeri mulai November

KUALA LUMPUR, 1 OKTOBER: Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengumumkan bahawa Persidangan DAP Negeri akan diadakan mulai 30 November ini.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, persidangan DAP negeri akan diadakan DAP Negeri Sembilan pada 30 November, Pulau Pinang dan Perlis (1 Disember), Melaka (7 Disember), Perak (8 Disember), Pahang (14 Disember), Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (15 Disember), Sabah (11 Januari) dan Johor (12 Januari).

“Kami akan mengadakan persidangan DAP negeri secara berturut-turut setiap hujung minggu iaitu pada Sabtu dan Ahad. Ini sebenarnya bukan amalan biasa, selalunya ia diadakan pada Ahad sepanjang tempoh dua bulan,” kata Anthony dalam kenyataan media di Ibu Pejabat DAP, semalam.

“Tetapi disebabkan arahan ROS yang memaksa DAP mengadakan pemilihan semula, menyebabkan persidangan DAP negeri hanya boleh diadakan mulai akhir November ini kerana perlembagaan parti memperuntukkan bahawa notis persidangan perlu diberi lapan minggu sebelum tarikh persidangan.

Sarawak sudah mengadakan persidangan negeri pada Jun lalu; manakala Kedah akan mengadakan persidangan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian kerana Pengerusi Jawatankuasa Penaja DAP Kedah, Zairil Khir Johari.

Mengulas pelantikan Zairil sebagai Pengerusi Penaja DAP Kedah, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Zairil sudah pun dilantik sejak Mei lalu, tetapi disebabkan pemilihan semula CEC yang dipaksa Pendaftar Pertubuhan (ROS) maka pelantikan itu diumumkan sekali lagi. – Roketkini.com