Berita

Teresa desak PDRM jelas kehilangan 44 senjata api

KUALA LUMPUR, 1 OKTOBER: Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok menggesa pihak polis menjelaskan daripada mana semua senjata api yang mencetuskan pelbagai kejadian jenayah beberapa bulan lalu diperoleh.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pendedahan Laporan 2012 oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang yang menyatakan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kehilangan 309 unit aset meliputi gari, senjata api dan kenderaan bernilai RM1.33 juta.

Teresa berkata, kerajaan harus mendesak polis memberi penjelasan mengenai kehilangan pelbagai aset itu sebelum cuba mengguna atau meminda undang-undang Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 melalui Parlimen.

“Ia membabitkan jumlah kehilangan senjata api yang banyak. Apakah tindakan tatatertib sudah diambil terhadap anggota polis yang cuai dalam menjalankan tugas ini.

“Pihak polis perlu menjelaskan bagaimana dan jenis apakah senjata apa yang hilang. Anggota polis yang cuai juga harus dihadapkan ke mahkamah bukan sekadar dibuang kerja kerana mungkin senjata itu diguna penjenayah untuk melakukan jenayah,” katanya ketika berhujah pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar juga wajib memandang serius kelemahan dalam sistem polis.

“Pihak polis mendakwa pindaan PCA disasar kepada kongsi gelap dan samseng tetapi adakah mereka sudah cermin diri mereka sendiri terlebih dahulu dan menjelaskan kelemahan dalam pasukan polis,” soalnya.

Statistik kehilangan aset yang dikeluarkan Bahagian Pengurusan Aset, Jabatan Logistik, PDRM daripada 2010 hingga 2013 mendapati selain senjata api, aset yang paling banyak hilang adalah gari iaitu sebanyak 156 unit dan 29 unit kenderaan.

Ambrin turut mendedahkan pengauditan yang dijalankan mendapati secara keseluruhannya pengurusan aset di Ibu Pejabat PDRM dan tiga IPK yang diperiksa adalah kurang memuaskan.

Pengurusan aset juga tidak teratur dan bersistematik sehingga menyebabkan berlakunya kehilangan aset terutamanya senjata api dan gari yang boleh mengancam keselamatan awam.

Kelemahan lain termasuk pengurusan aset seperti Urussetia Kehilangan dan Hapus Kira lewat mengambil tindakan susulan; kelewatan mengambil tindakan di peringkat kontinjen setelah kelulusan hapus kira oleh Kuasa Melulus; Kelewatan mengambil tindakan surcaj, tempat penyimpanan tidak selamat dan ruang penyimpanan aset yang sempit dan terhad.-Roketkini.com