Berita

UMNO akan terus musnahkan DAP – Dr Ariffin Omar

KUALA LUMPUR, 1 OKT: UMNO-Barisan Nasional (BN) tidak akan berputus asa untuk memusnahkan DAP yang semakin kukuh dengan pertambahan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di seluruh negara.

Selain itu, apa yang menggusarkan mereka adalah kehadiran muka baru Ahli Parlimen dan ADUN berketurunan Melayu dan Bumiputera mewakili DAP yang secara langsung memulihkan persepsi dan imej DAP sebagai sebuah parti pelbagai kaum.

Senator Dr Ariffin Omar berkata, serangan bertubi-tubi UMNO dan media kawalan mereka sehingga mencetuskan kacau bilau dalam isu pemilihan semula DAP menunjukkan ‘parti Melayu’ yang mendominasi kerajaan itu rasa sangat terancam sehingga terpaksa memperkudakan ahli DAP sendiri untuk memusnahkan parti.

“Kalau dulu mereka tekan DAP daripada luar dengan media dan sebagainya. Tapi sekarang mereka menggunakan ahli DAP sendiri untuk memusnahkan parti daripada dalam sehingga menyebabkan parti terpaksa berhadapan dengan tindakan mahkamah dan sebagainya.

“Kalau tidak berjaya, mereka akan tukar taktik serangan menggunakan kaum dan agama dan usaha ini tidak akan berhenti,” katanya ketika ditemui Roketkini.com ketika Kongres Khas DAP.

Dr Ariffin berkata, serangan pemimpin UMNO juga akan terus hebat memandangkan pemilihan UMNO bakal berlangsung akhir tahun ini.

“Mereka akan sedaya upaya menunjukkan siapa yang lebih ‘Melayu’ daripada yang lain supaya dipandang jaguh membela Melayu,” ujar beliau.

Tambahnya, tanpa memainkan isu kaum, UMNO seolah-olah tidak ada lagi modal untuk memperjuangkan rakyat.

“Perkara yang sama turut dilakukan MCA dengan menyemai benih perkauman dalam diri masyarakat Cina dan MIC pula menanam kebencian dalam diri kaum India. Akhirnya, kita rakyat Malaysia tidak bersatu. Ini yang dilakukan BN sejak sekian lama memerintah Malaysia,” tegasnya.

Bagaimanapun, kata Dr Ariffin, Pilihan Raya Umum 2008 menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia yang membuka mata terhadap taktik pecah dan perintah BN.

“Kami sedar, pemimpin BN pun sedar, Malaysia bukan negara untuk orang Melayu sahaja atau orang Cina, Malaysia adalah negara pelbagai semua,” katanya sambil menasihatkan agar DAP tidak leka dengan kemenangan besar yang dicapai pada PRU lalu.-Roketkini.com