Rencana

Dari dapur ke Parlimen Oleh Aishah

parlimen mlmBAGI kebanyakan orang, wanita dan politik adalah dua perkataan yang sangat asing antara satu sama lain. Wanita sering dikaitkan dengan dapur, bilik tidur – ruang peribadi, manakala politik pula dikategorikan sebagai ruang awam yang dikuasai lelaki yang dikatakan memiliki kuasa sebagai pemimpin.

Jadi, tidak hairanlah ruang dan peranan lelaki dan wanita yang berbeza ini dilihat secara binari seperti kuat-lemah, tuan-hamba. Lebih buruk lagi jika hubungan antara lelaki dan wanita dilihat sebagai dominan-subordinat yang membuka ruang kepada diskriminasi dan eksploitasi kepada satu-satu gender.

Terlebih lagi dalam suasana politik di Malaysia yang pada awalnya dikuasai majoriti lelaki sehinggakan dasar yang membabitkan rakyat terbanyak termasuk wanita juga diputuskan tanpa mengambil kira pandangan mereka ini. Oleh itu, Agenda Wanita Malaysia antara lainnya mengiktiraf wanita adalah tonggak dan penggerak masyarakat dalam memenuhi tanggungjawab sosialnya sebagai warganegara Malaysia.

Wanita berperanan sebagai ibu, isteri dan anak perempuan yang membentuk asas jati diri masyarakat Malaysia. Justeru, wanita Pakatan memahami bahawa pencerahan daripada segi pendidikan merupakan asas pemberdayaan politik, ekonomi dan sosial. Di sinilah letaknya dasar dan budaya yang memahami falsafah hormat wanita yang memartabatkan dan memberikan keadilan kepada wanita.

Walaupun pelbagai dasar dibentuk dalam Rancangan Malaysia tetapi daripada segi pelaksanaannya, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga dilihat tidak berupaya menjalankan aktiviti pemberdayaan seperti yang banyak dilakukan badan bukan kerajaan (NGO) seperti AWAM, WAO, WCC, SIS, Empower.

Malah, Pulau Pinang sejak dua tiga tahun ini muncul dengan 3Gs dan PWDC (Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang) yang menunjangi kerja advokasi terutama program perdana selama 3 tahun iaitu Bajet Responsif Gender – antara satu daripada inisiatif belanjawan peka gender yang terdapat dalam Agenda Wanita Malaysia Pakatan.

Biasanya, wanita dalam politik Malaysia sering dilekatkan dengan stereotaip yang merendahkan mereka seperti yang dapat disaksikan ramai dalam Parlimen – setiap mereka seharusnya bertanggungjawab membawa masalah rakyat untuk dibentang dan diselesaikan secara bersama, berakhir dengan cemuhan.

Wanita yang dipilih rakyat untuk memimpin mereka dilihat tidak kalah dalam memperjuangkan isu masing-masing. Dan sering juga lelaki yang dikatakan sebagai makhluk rasional tidak mampu berhujah dengan baik dengan gender yang berlawanan dengannya. Hal ini dapat dilihat pada kenyataan ahli Parlimen BN seperti “Mana ada bocor? Batu Gajah pun bocor tiap-tiap bulan juga.”, ”Isu wanita jarang disentuh oleh lelaki… tetapi wanita sepatutnya disentuh oleh lelaki”. Ini adalah perbuatan seksis yang bukan sahaja bermasalah kepada wanita tetapi juga lelaki.

Walaupun pindaan larangan seksis telah dipinda, ia sedikit sebanyak memberi gambaran kepada kita bahawa Malaysia sangat memerlukan persekitaran yang sensitif gender. Wanita seperti juga lelaki adalah manusia yang harus dihargai kebolehan mereka bukan dilayan sebagai seks kedua atau seks ketiga.

Wanita punya peranan yang sama penting dimainkan oleh lelaki dalam membangun tamadun dan terbabit dalam peperangan sebagaimana tercatat dalam sejarah manusia. Jadi, dalam abad ‘moden’ ini, tiada alasan untuk wanita tidak terbabit dalam proses pembuatan keputusan atau mengisi kedudukan sekurang-kurangnya 30 peratus pembuat keputusan.

Ini adil kerana wanita juga sebahagian daripada masyarakat yang tentunya mempunyai keperluan yang berbeza, dan dasar yang diputuskan nanti akan memberi kesan kepada mereka. Dalam konteks ini, kita mungkin perlu juga berterima kasih kepada gelombang feminisme pertama yang bertegas mengenai hak pengundi wanita dan pentingnya mengambil kira suara wanita sebelum membuat keputusan. Ini bagaimanapun tidak menafikan bahawa di setiap tempat ada kesedaran dan kebijaksanaannya sendiri.

Wanita DAPDi Malaysia, beberapa ahli Parlimen yang cukup dikenal ialah Chong Eng (DAP), Nurul Izzah Anwar (PKR), Teresa Kok (DAP). Mereka ini antara yang dihimpit dengan social expectation tetapi masih diberi kepercayaan oleh rakyat terbanyak. Di parti BN misalnya, wanita dalam parti politik yang sentiasa mendapat perhatian luar dan dalam negara pastilah Shahrizat Abdul Jalil, Ng Yen Yen, Azalina Othman. Di samping wanita ini, politik Malaysia juga dicorakkan dengan kehadiran Ummi Hafilda, Rosmah Mansor, Rafidah Aziz.

Yang menarik perhatian kita adalah persepsi dan perhatian yang diberi kepada parti Pakatan dan Barisan Nasional (BN) ternyata berlawanan. Korupsi, kronisme, kondominium, facebook pastinya akan dikaitkan dengan parti BN. Bagi Pakatan pula, kita dapat melihat kesungguhan wanita ini untuk menembusi politik primordial yang sempit – yang lebih melihat sebatas kaum, gender dan agama.

Atas semua ini, Malaysia juga masih ketinggalan dalam menempatkan wanita sebagai menteri. Setakat ini, wanita antaranya hanya mengisi Menteri Kebajikan Am Menteri Perusahaan Awam (Fatimah Hashim 1969), (Rafidah Aziz 1980-1987), Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Rafidah Aziz 1987 – 2008), Menteri Perlancongan (Ng Yen Yen 2009 – 2012), Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Shahrizat Abdul Jalil 2009 – 2012). Seharusnya lebih banyak lagi kedudukan diberi kepada wanita dalam menjadi menteri selain memfokuskan hanya sebagai perwakilan dalam Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Mengutip kata-kata bekas Presiden Indonesia, Soekarno, “Laki-laki dan perempuan adalah sebagai dua sayapnya seekor burung. Jika dua sayap sama kuatnya, maka terbanglah burung itu sampai ke puncak yang setinggi-tingginya; jika patah satu daripada dua sayap itu, maka burung itu tidak dapat terbang sama sekali.”.-Roketkini.com