Berita

Kerajaan BN menipu: guna berjuta duit rakyat bayar artis k-pop

KUALA LUMPUR, 2 OKTOBER: Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendedahkan bahawa tiga kumpulan artis Korea, K-Pop yang dibawa masuk untuk mengadakan persembahan sempena sambutan Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya tahun lalu membabitkan perbelanjaan wang rakyat sebanyak RM1.6 juta.

Fakta yang didedahkan itu sekaligus membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) menipu rakyat apabila menafikan melakukan pembaziran wang negara.

Dalam laporan media tahun lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menafikan mereka menggunakan wang kerajaan untuk membayar kepada artis K-Pop itu.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Mohid Mohamed dalam kenyataannya mendakwa kos membiayai oleh Stadium First Sdn Bhd (Stadium First) berjumlah RM900,000 dibayar menggunakan wang penajaan.

“Kos RM900,000 itu ditanggung Stadium First selaku pembekal program kepada KBS dan kita akan menggunakan wang tajaan pihak swasta untuk menyelesaikannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tiga kumpulan K-Pop yang membuat persembahan itu ialah U-Kiss, Teen Top dan Dal Shabet.

Berikutan pembaziran itu, kementerian ditegur Jabatan Audit Negara kerana “perbelanjaan tinggi” dan tidak selaras dengan peraturan perbelanjaan berhemat.

Roketkini.com pada Julai lalu melaporkan DAP mengeluarkan kenyataan meminta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjawab secara jujur dan terperinci dua soalan penting membabitkan kos keseluruhan sambutan Hari Belia 2012 sebanyak RM55 juta iaitu pertambahan mendadak sebanyak RM28 juta berbanding hanya RM10 juta pada sambutan sebelumnya.

Ia termasuk perincian mengenai pecahan kos membabitkan RM55 juta itu termasuk penajaan, senarai kontraktor atau pembekal yang dilantik serta kos perkhidmatan setiap mereka.

“Jika program itu berlangsung selama lima hari, bermakna purata kerajaan membelanjakan RM11 juta sehari,” kata Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong.-Roketkini.com