Berita

PR cadang tubuh jawatankuasa khas, elak kebocoran melampau wang negara

KUALA LUMPUR, 2 OKTOBER: Pakatan Rakyat (PR) mencadangkan Jawatankuasa Majlis Tindakan diwujudkan segera bagi menangani semua kebocoran wang kerajaan yang semakin parah dan membebankan rakyat dan negara.

Cadangan ini dibuat berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara yang mengejutkan banyak pihak apabila mendedahkan pelbagai ketirisan melampau di beberapa sektor dan kementerian.

Tiga pimpinan PR iaitu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan Jawatankuasa Majlis Tindakan itu dianggotai Timbalan Perdana Menteri, Ketua Pembangkang dan Ketua Audit Negara.

Menurut Lim Guan Eng, pelbagai ketirisan dan penyelewengan seperti yang didedahkan Laporan Ketua Audit Negara berhubung perbelanjaan kerajaan perlu diambil tindakan segera.

lge 2“Tiap kali laporan audit dibentang, masih isu yang sama seperti tahun lalu, tapi, tidak ada satu pun tindakan tegas diambil walaupun perkara itu dilaporkan, jadi, Pakatan Rakyat mencadangkan agar satu jawatankuasa khas diwujudkan untuk membincang dan menyelesaikan perkara itu. Ketirisan patut kita hentikan segera,” tegasnya.

Merujuk kepada laporan audit, Ahli Parlimen DAP Bagan itu berkata, terlalu banyak ketirisan berlaku terutamanya membabitkan pembelian aset.

Beliau turut kesal dengan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang melaporkan penyelewengan tetapi hanya sekadar membuat pendedahan tanpa mempunyai kuasa untuk bertindak.

Mahfuz pula berkata, cadangan penubuhan jawatankuasa itu adalah langkah terbaik untuk menangani ketirisan wang pembayar cukai yang berulang.

“Ini mengesahkan bahawa kerajaan BN tidak pernah mengambil iktibar daripada apa yang berlaku. mereka seperti tidak peduli, tidak memandang berat cadangan Ketua Audit,” ujar Ahli Parlimen Pokok Sena.

Beliau dalam pada itu menggesa kerajaan mengenalpasti langkah konkrit untuk mengelak perkara yang sama berulang.

Azmin pula berkata, isu ketirisan menjadi satu budaya dalam agensi kerajaan.

“Kami hairan kenapa kerajaan pandang remeh tanpa penguatkuasaan.

“Kami juga kesal bila laporan diserahkan pada saat akhir perbahasan mungkin supaya Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak dapat membahasnya pada sidang kali ini,” ujar beliau.-Roketkini.com