Berita

Kerajaan PR anjur Pentas Selangor, pertingkat pembangunan seni, budaya

SHAH ALAM, 2 OKTOBER: Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Selangor akan menitikberatkan pembangunan kebudayaan dan kesenian seiring dengan kemajuan bidang lain.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Teng Chang Khim berkata, satu penganjuran persembahan pelbagai kebudayaan dikenali Pentas Selangor akan diadakan pada 26 Oktober ini bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (Perempuan), Klang.

Menurut beliau, penganjuran persembahan itu adalah hasil usahasama Kerajaan Negeri dan pihak korporat bagi mengembangkan kebudayaan dan kesenian pelbagai kaum di Selangor.

Teng Chang Khim-IMG_6390“Program ini akan menjadi satu tarikan bagi penggiat seni dan pelancongan serta akan dimasukkan sebagai satu daripada acara dalam kalendar pelancongan negeri tahun depan.

“Selepas kejayaan kali pertama penganjuran, kami akan teruskan acara yang sama. Kami juga merancang membuat 12 persembahan sebulan sekali dengan Klang sebagai permulaan kerana bandar ini dikenali sebagai pusat kebudayaan.

“Kami turut berharap untuk membuat persembahan seterusnya di Shah Alam dan Petaling Jaya kerana mempunyai lebih kemudahan kebudayaan seperti auditorium dan pentas teater,” katanya pada sidang media di Shah Alam, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Sungai Pinang berkata, buat permulaan persembahan itu akan disertai dan dijayakan enam kumpulan kesenian antaranya terdiri daripada Orkestra Cina serta pasukan gendang, tarian dan nyanyian.

“Ia adalah persembahan pelbagai kebudayaan dan akan menjadi satu cabaran bagi kami untuk mengembangkannya.

“Apabila ia berjaya, perancangan seterusnya adalah membesarkan Pentas Selangor kepada Pentas Utama atau Pentas Perdana dengan pembabitan penyertaan pelbagai kaum seperti Melayu, India, Kadazan, Iban, Dayak dan sebagainya termasuk tajaan daripada pihak korporat yang lebih besar,” katanya.

Daripada segi peruntukan, beliau berkata, kerajaan negeri menganggarkan perbelanjaan kira-kira RM500,000 untuk penganjuran 12 persembahan itu nanti.

“Kami berharap mampu untuk membina satu model pembangunan kesenian di Selangor kerana selalunya kita menghadapi kekangan peruntukan untuk mengiatkan aktiviti kesenian di Malaysia.

“Kami berbangga dengan pembangunan fizikal, ada menara kembar Petronas, lapangan terbang terbesar, pelabuhan besar, rangkaian sistem pengangkutan terbaik di rantau ini tetapi apabila bercakap mengenai soal kebudayaan, kita juga sebenarnya mempunyai ruang yang besar untuk turut sama dipertingkatkan,” ujarnya. -Roketkini.com