Rencana

Pasca pemilihan CEC: Antara Melayu asli, dangdut, keroncong dan RnB

cabai-burungA1RUMAH siap pahat berbunyi. Begitulah kisahnya dengan Kongres Khas pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang selesai kelmarin.

Tetapi tambah pelik, yang kuat berbunyi itu bukanlah daripada calon atau perwakilan yang mengambil bahagian dalam pemilihan itu.

Kita bukan nak mengata orang dalam atau luar tidak boleh mengulas atau mengkritik. Kalau ia pun nak mengomen, biarlah yang berisi, kalau ia pun nak mengata, biarlah berfakta.

Bukannya apa, bila komen dibuat tidak pakai akai (akal), orang jadi meluat. Kan itu namanya malu sendiri.

Nak jadi takdir, maka menanglah anak Allahyarham Tan Sri Khir Johari, Zairi pada kedudukan 12 tertinggi, dilantik pula Senator Dr Ariffin Omar duduk dalam CEC; bukannya apa, orang Melayu dalam DAP ini kurang, maka jatuh bangun sakit demam orang Melayu dalam DAP ini suka benar dikisahkan orang.

Bila Zairil dan Dr Ariffin sah duduk dalam barisan CEC. Tak semena-mena pula bersuaralah dengan lantang Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang, Rahmad Isahak yang membangkitkan asli-tak-asli si Zairil ini.

Dipersoalkan juga kenapa calon Melayu asli yang lain tidak menang. Bagi Cabai Burung, orang yang tak cukup cerdik saja boleh tanya soalan semacam itu.

Apa taknya, sudahlah nak masuk DAP pun borangnya tak ada jenis bangsa nak ditulis, bila ada yang menang jadi wakil rakyat atau jadi CEC, kisah pula dia pasal bangsa…

Lucunya, sampai tergamak nak persoal asli-tak-asli jalur baka keturunan.

Jenis lidah biawak….

Kita jugak hairan, bila dulu Pak Ahmad Ton jadi Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, dituduh jadi boneka DAP nak mengaburi orang Melayu.

Bila naik si Zairil dan Dr Ariffin dalam CEC, dianggap pula Melayunya kurang asli.

Tapi, kalau tak ada seorang pun yang Melayu dalam CEC, dituduh pula DAP anti Melayu, parti chauvinis Cina dan macam-macam lagi.

Maka betullah kata orang tua, duduk salah, bangun pun salah; ditelan mati mak, diluah mati bapa.

Ada apa pada bangsa?

DAP sedang berubah, Pakatan makin matang, pemikiran masyarakat juga makin berkembang. Sampai bila mahu dikisahkan lagi cerita semacam ni.

Yang penting bukan susur galur baka keturunan tetapi adalah kemampuan kepimpinan yang jujur, baik dan berkesan. Apa guna pemimpin Cina kalau makan duit rakyat? Apa guna pemimpin Melayu kalau bedal duit projek? Bangsa tidak penting!

Kalau betullah mahu sangat jaga ketulenan Melayu, kenapa tak ditanya dulu Datuk Seri Reezal Naina Merican ini Melayu asli atau tidak? Kenapa tak ditanya Datuk Musa Sheikh Fadzir itu asli Melayunya atau tidak? Kenapa tak ditanya Dr Mahathir itu Melayu asli atau keturunan India?

Buat pengkritik dan pencacai bebal ini, Cabai Burung nak berpesan. Sudah-sudahlah keluarkan kenyataan yang tidak cerdik. Makin awak buka mulut, makin naik meluat orang dengar.

Tapi, kalau lagu antara Melayu Asli, keroncong, dangdut dan zapin, Cabai Burung lagi suka dengar R n B, pilihan kan masing-masing… siapa peduli kan? -Roketkini.com