Berita

DAP mahu akta dipinda supaya rakyat tahu bagaimana Petronas belanjakan wang

KUALA LUMPUR, 2 OKTOBER: Ahli Parlimen DAP Taiping, Nga Kor Ming menggesa kerajaan meminda Akta Pembangunan Petroleum 1974 supaya masyarakat umum dapat mengetahui akses kewangannya.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 3 Akta Pembangunan Petroleum 1974, hanya Pejabat Perdana Menteri mempunyai akses terus kepada akaun kewangan Petronas yang diklasifikasikan sebagai sulit dan rahsia.

nga kor ming 2“Syarikat itu mempunyai audit dalaman tetapi ia perlu dikemukakan kepada Parlimen supaya boleh dibahas dan orang ramai boleh mengetahui bagaimana wang dibelanjakan.

“Saya menyeru kerajaan meminda akta itu dan membolehkan Ketua Audit Negara yang menyiasat dan mengaudit akaun Petronas sebagai mekanisme ‘check and balance’ untuk melindungi kepentingan awam,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Penolong Bendahari Kebangsaan DAP berkata demikian berikutan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara 2012 dan selepas mendapat jawapan bertulis daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai jumlah dana Petronas yang disalurkan kepada kerajaan.

Menurut jawapan yang diberikan, sejak penubuhan Petronas pada 1974 hingga 31 Disember 2012, syarikat itu menyumbang RM732 bilion kepada kerajaan.

Najib menyatakan RM732 bilion itu merangkumi RM278 bilion dalam bentuk dividen, RM124 bilion hasil minyak, RM310 bilion cukai pendapatan dan RM20 bilion duti eksport.

Kor Ming menegaskan Petronas kini menyumbang hampir 40 peratus kepada pendapatan kerajaan.

“Jadi, adalah penting bagi pengurusan kewangan Petronas memaparkan ketelusan dan akauntabiliti bagi mengelak sebarang penyelewengan, kecuaian atau rasuah terus berleluasa,” ujarnya. -Roketkini.com