Berita

Ketua Pengarah ROS dicabar letak jawatan gagal bertindak terhadap 90 pertubuhan

KUALA LUMPUR, 3 OKTOBER: Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok mendesak Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS), Datuk Abdul Rahman Othman meletakkan jawatan kerana mengamalkan amalan politik berat sebelah.

teresa 2Beliau berkata, merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 2012, ROS terbukti gagal dan tidak cekap menggunakan kuasanya terhadap 90 pertubuhan walaupun sebelum ini begitu agresif mendisiplinkan DAP dengan mendesak mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Menurutnya, agensi Audit di Putrajaya, Pulau Pinang, Johor dan Pahang mendapati ROS langsung tidak pernah mengeluarkan sebarang notis terhadap 90 pertubuhan yang masih belum menyerahkan sebarang laporan.

“Mengikut Akta ROS 1966, pertubuhan yang berdaftar di bawah ROS mesti mengemukakan laporan mesyuarat agung tahunan (AGM) dalam tempoh 60 hari atau dalam tempoh 60 hari sehingga akhir tahun jika tidak ada AGM.

“Jadi, bolehkah ROS menafikan bahawa mereka mengamalkan pendakwaan terpilih atau ‘double standard’ apabila bersemangat besar menyerang DAP?,” soalnya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan menganggap tindakan ROS mengganggu DAP atas masalah teknikal amat tidak bertanggungjawab apabila mereka sendiri sebenarnya tidak cekap dalam soal urus tadbir dan pengurusan.

“Ketua Audit Negara sendiri menyatakan bahawa prestasi keseluruhan ROS tidak memuaskan. Abdul Rahman mesti bertanggungjawab sepenuhnya, jika tidak beliau harus meletakkan jawatan atau dipecat kerana terbukti tidak cekap dan berat sebelah,” tegasnya. -Roketkini.com