Berita

Kos Hari Belia: Selepas tipu, kerajaan BN bohong lagi

KUALA LUMPUR, 3 OKTOBER: Kos penganjuran Hari Belia Negara 2012 (HBN2012) sebenarnya adalah berjumlah RM67.61 juta, bukannya RM55 juta seperti yang diumumkan Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini.

Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong yang mendedahkan pembohongan berulang kerajaan BN itu, berkata merujuk kepada laporan Ketua Audit Negara, terdapat sejumlah wang RM12.61 juta telah dibelanjakan kementerian itu.

“Wang itu adalah wang Program Pemberian Bantuan yang kemudiannya disalurkan ke penganjuran HBN2012 melalui badan belia seperti Majlis Belia Malaysia.

“Laporan audit juga menyatakan akibat daripada pemberian wang itu, maka “jumlah perbelanjaan sebenar HBN2012 yang dilaporkan kementerian ternyata kurang,” jelasnya yang mendesak kerajaan menjelaskan fakta sebenar mengenai kos penganjuran HBN2012.

Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAPSY itu juga berkata, ini bermakna kos sebenar HBN2012 meningkat daripada kos asal iaitu RM15 juta kepada RM55 juta, kini meningkat lagi kira-kira 23 peratus menjadikannya kos penganjuran HBN2012 RM67.61 juta.

steven simMenurut Steven, sebelum ini kos asal HBN2012 yang diperuntukkan Kementerian Belia dan Sukan ialah RM15 juta.

“Kemudian, bekas Menteri Belia dan Sukan Ahmad, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata bahawa hari belia mendapat tajaan swasta berjumlah RM28 juta dan pada mesyuarat Parlimen lalu, kementerian itu memohon lagi belanja lebih melalui perbekalan tambahan (supplementary budget) sebanyak RM12 juta.

“Kini, mengikut laporan Ketua Audit Negara, rupa-rupanya ada lagi sebanyak RM12.61 juta yang dibelanjakan untuk majlis itu,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau mendesak Menteri Belia dan Sukan yang baru, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjawab beberapa lagi persoalan yang belum selesai.

“Mengapa kos HBN2012 meningkat begitu mendadak dari perancangan asal RM15 juta sehingga kini RM67.61 juta?

“Kami juga mahu kementerian senaraikan pecahan kos HBN2012 termasuk senarai penaja dan kontraktor yang terbabit, jenis kerja dan kos setiap satu dan satu lagi soalan saya, adakah kos lain yang disembunyikan kementerian yang belum dilaporkan kepada umum?,” tambah beliau.-Roketkini.com