Berita

PAS kekal bersama PR, komited banteras perkauman menuju politik baru

KUALA LUMPUR, 3 OKTOBER: PAS tidak akan menjadi lebih Melayu dan sempit Islamnya berbanding UMNO kerana parti itu berpegang pada prinsip sederhana bersama teman dalam Pakatan Rakyat (PR) menuju politik baru.

Itu kesimpulan yang dibuat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pada forum bertajuk “Survival PAS dalam arena politik Malaysia” anjuran Free Public Forum Malaysia yang diadakan di KLSCAH, semalam.

Menurut beliau, Malaysia sedang menuju politik baru di mana politik lama yang terperangkap dalam ruang lingkup kaum dan agama tidak lagi relevan, malah memporak perandakan negara.

“Sekarang ini politik baru. UMNO kena tahu, untuk terus hidup, mereka juga tidak boleh berada dalam kerangka politik lama.

“Politik perkauman, sedar atau tidak ia makin pudar, makin ditinggalkan. Bila kita lihat orang Cina, non-muslim tidak takut dengan PAS, bila kita lihat anak muda, orang Melayu julang panji Roket. Ini bermakna kita (PR) telah keluar daripada politik lama, sedia untuk mentadbir Malaysia,” tegas beliau.

Katanya lagi, keberadaan PAS bersama PR juga mampu menjadi pengimbang yang baik dalam usaha untuk sama-sama menjatuhkan kerajaan BN yang didominasi UMNO.

“Sebab itu segala undangan untuk bersama UMNO kami tolak,” kata beliau.

Turut menjadi ahli panel forum itu ialah dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa dan Ahli Dewan Undangan Negeri PAS Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Bagi Datuk Husam Musa, PAS sama sekali tidak akan meninggalkan Pakatan Rakyat sepertimana yang sering diapi-apikan parti lawan.

“Jika dulu PAS hanya kuat di Pantai Timur, tetapi sekarang, dengan perkembangan politik baru dan wujudnya PR, kita juga mempunyai asas yang cukup kuat di negeri Pantai Barat.

“Kami mendapat sokongan yang lebih menyeluruh sekarang berbanding sebelum ini,” ujarnya.

Menekan kepada golongan pelapis muda PAS, Salahuddin optimis parti itu tidak ketandusan pemimpin muda.

“Kami bukan sediakan pemimpin untuk orang PAS sahaja. Kita mempunyai pelapis, pimpinan muda yang mampu memimpin semua golongan masyarakat di Malaysia sesuai dengan lanskap dan demografi politik negara kita.

“Sejak sebelum merdeka lagi kita telah membuktikan kepada masyarakat bahawa PAS mempunyai ramai tokoh berwibawa dan terbuka seperti Allahyarham Dr Burhanuddin Al-Helmy dan ramai lagi,” ujarnya.

Menyentuh isu dalaman PAS, beliau menegaskan bahawa semua perbezaan pandangan dalam PAS merupakan perkara biasa dan bukannya satu masalah kepada parti.

“Ini bukti wujud demokrasi dalam parti. Siapapun bebas bersuara,” katanya.

Bagi Dr Syed Azman, PAS perlu melangkah ke hadapan bersama teman DAP dan PKR untuk memadamkan politik perkauman yang dimainkan UMNO sejak puluhan tahun lalu.

“Dulu, orang Melayu sangat benci dan takut kepada DAP. Tetapi selepas bersama PR kami berjaya pecahkan tembok perkauman yang dibina UMNO.

“Kami sekarang berada di landasan politik baru. Kenapa perlu toleh ke belakang? Sebab itu semua kaum samada Cina, India, Melayu, Dayak, semuanya perlu berani untuk melakukan perubahan,” tegasnya.-Roketkini.com