Berita

Program satelit negara libatkan RM1 bilion wang pembayar cukai

KUALA LUMPUR, 3 OKTOBER: DAP mengecam program pengimejan satelit negara yang akan menyebabkan kos pembayar cukai mencecah sehingga RM1 bilion.

Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Ahli Parlimen DAP Stampin, Julian Tan Kok Ping pada sidang bersama di Lobi Parlimen berkata, kos sebenar program pengimejan pemetaan ruang satelit RazakSat-1 serta RazakSat-2 kerajaan bukan sekadar bernilai RM142 juta dan RM271.9 juta seperti yang disenaraikan kerana ia tidak termasuk perkhidmatan sampingan lain.

steven sim julian tan kok ping 2“Kami percaya RM142 juta dan RM271.9 juta bukan kos keseluruhan. Kami yakin kos sebenar kepada cita-cita besar kerajaan untuk menghantar satelit supaya dapat mengambil gambar daripada langit ini akhirnya akan mencecah kos sehingga RM1 bilion atau lebih.

“Kos ini termasuk semua kemudahan sokongan, kakitangan, penghantaran seperti TiungSat-1, TiungSat-2, CubeSAT, InnoSAR serta pelancaran dan operasi.

“Projek masih belum dimulakan tapi kos meningkat 35 peratus atau RM72 juta,” katanya Sim yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Kebangsaan.

Sim turut menyatakan Laporan Ketua Audit 2011 mendedahkan bahawa kecacatan satelit RazakSat-1 menimbulkan syak wasangka kepada projek penggantinya iaitu RazakSat-2.

“Sejak 2011, Ketua Audit Negara memberi amaran pada kegagalan RazakSat-1. Kami tidak dapat melihat sebarang langkah serius kerajaan untuk memastikan RazakSat-2 tidak mengalami kegagalan lagi.

“Kerajaan mesti bersikap telus mengenai rancangan projek satelit ini. Pertama, jumlah kos keseluruhan mesti diberi dan kedua, strategi yang jelas harus dikemukakan.” tegasnya.

Julian turut mempertikaikan mengapa kerajaan memperuntukkan perbelanjaan kepada rakan kongsi teknologi luar sedangkan negara sudah memiliki pakar tempatan.

“Kerajaan telah melatih seramai 166 jurutera dan saintis untuk program RazakSat-1, bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili sendiri menyatakan perkara itu pada 2011.

“Jadi mengapa perlu membelanjakan wang yang banyak tanpa menggunakan kapasiti sendiri? Mengapa perlu membabitkan tenaga luar yang digelar ‘rakan kongsi teknologi’ untuk melakukan hampir segala-galanya dalam program satelit ini?,” soalnya.

Dalam jawapan kepada soalan beliau pada sidang Parlimen semalam, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Abu Bakar Mohamad Diah menyatakan setelah dua tahun projek itu dilancarkan kerajaan memilih untuk menunda pelancarannya pada 2016, setahun daripada tarikh asal.

Ketua Audit Negara sebelum ini melaporkan bahawa syarikat milik kerajaan Astronautic Technology Sdn Bhd (ATSB) yang mengoperasikan RazakSat-1 telah mengalami kerugian berjumlah RM10.89 juta pada 2009 sebelum dilancarkan.

Sim sebelum ini menyeru kerajaan mengemukakan penjelasan menyeluruh dan terperinci mengenai projek satelit RazakSat-2 yang kini kosnya meningkat 35 peratus daripada RM200 juta kepada RM272 juta. -Roketkini.com