Berita

DAP mohon kerajaan sediakan pendidikan khusus kanak-kanak lumpuh otak atau Cerebral Palsy

KUALA LUMPUR, 3 OKTOBER: Kerajaan digesa memberi tumpuan dan peruntukan bagi kebajikan serta pendidikan khusus untuk golongan kurang upaya termasuk penghidap Cerebral Palsy (CP).

Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, selain itu, dasar pendidikan juga harus mempunyai dua matlamat utama supaya semua golongan dan anak-anak terbela.

“Pertamanya ia harus dirangka untuk menghasilkan pelajar terbaik dan berkualiti dan keduanya ia juga harus mendukung prinsip keterangkuman iaitu tiada anak yang ditinggalkan,

zairil“Malangnya di Malaysia, tiada satu sistem pendidikan khusus bagi mereka yang menghidap Cerebral Palsy,” katanya yang juga Timbalan Setiausaha Publisiti DAP kebangsaan kepada Roketkini.

Ia adalah respon kepada memorandum yang dihantar Naib Pengerusi Pertubuhan Harapan Anak-anak Cerebral Palsy (Hope2Walk), Mohamad Affandi dan isterinya, Raja Rohaisham kepada beberapa kementerian.

Menurut Affandi, Malaysia memang mempunyai sekolah pendidikan khas tetapi ia tidak khusus dan tidak sesuai bagi penghidap CP.

“Golongan CP ini adalah golongan orang kelainan upaya (OKU) terlantar. Ia bermakna, anak ini dilahirkan terlantar, terencat perkembangan dan pembesaran tubuh malah tidak mampu menguruskan diri.

“Mereka tidak sama dengan OKU lain seperti kecacatan anggota yang boleh mengurus diri walaupun mengalami kecacatan akal, buta dan sebagainya,” jelas beliau yang hadir bersama anaknya, An-Nur Mohamad Affandi, 10, yang menghidap CP.

Memorandum Hope2Walk yang dihantar kepada Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan dan Ketua Pembangkang Malaysia ini menuntut kerajaan mengambil langkah proaktif membela penderitaan kanak-kanak CP.

Memorandum itu dipetik berkata “Ketidaksempurnaan ini bukan sesuatu yang dirancang mereka. Mereka sendiri tidak pernah meminta diri mereka dilahirkan dalam keadaan serba kekurangan ini. Jadi, apakah jalan bagi orang yang sempurna untuk membela nasib anak-anak CP ini?

“Amatlah kejam apabila anak-anak CP terus dinafikan hak mendapat pendidikan seperti kanak-kanak lain. Ketepikan perbezaan fahaman politik dan bermain politik peribadi di Dewan Rakyat. Anak-anak CP di dalam kecemasan dan sangat memerlukan pembelaan segera. Mahukah kita melihat Malaysia menjadi sebuah negara pembunuh nombor satu kanak-kanak CP? Semoga hak mereka untuk mendapat pendidikan berkualiti dapat direalisasikan,” menurut memeronadum itu

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Hope2Walk boleh berbuat demikian melalui talian 012-3499276 atau 012-6447486, email [email protected] , facebook https://www.facebook.com/hope2walk , atau laman blog  http://www.hope2walk.blogspot.com/   -Roketkini.com