Berita

Tujuh kemelut utama di Sabah dipandang remeh BN

KUALA LUMPUR, 3 OKTOBER: Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin membariskan tujuh kemelut ‘evergreen’ rakyat Sabah yang tidak dipedulikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak lebih 50 tahun memerintah negeri di bawah bayu itu.

Beliau berkata, masalah terburuk dan yang paling asas yang begitu lama gagal diselesaikan BN ialah masalah bekalan air terawat dan elektrik.

“Saya sangat hairan kenapa BN tidak mempedulikan masalah yang begitu lama menyelubungi rakyat Sabah.

“Mereka yang tinggal di pedalaman, ada paip tapi tak boleh guna. Masih ramai guna air gunung, air telaga dan air hujan untuk keperluan harian, ini menggambarkan Malaysia sekitar tahun 60an dan 70an dulu,” katanya kepada Roketkini.com ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Jimmy Wong berkata, masalah itu semakin menghantui rakyat Sabah ditambah pula dengan pelbagai karenah, janji kosong dan birokrasi yang wujud dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Selain itu, Pengerusi DAP Sabah itu berkata, janji BN untuk membina Pan Borneo Highway umpama cerita dongeng yang diturunkan dari generasi ke generasi.

“Mana dia Pan Borneo Highway tu? Ini sudah jadi cerita dongeng. Daripada dulu hingga sekarang BN selalu cakap mahu bina lebuhraya berkenaan tapi apa yang ada hanya jalan raya yang selalu rosak dan berlubang-lubang,” ujarnya.

Katanya, tambah menyedihkan ialah perkhidmatan keretapi yang menghubungkan antara bandar utama di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, lebuhraya, perkhidmatan keretapi, ini semua sangat penting sebagai penghubung yang boleh menaikkan ekonomi negeri dan rakyat.

“Kalau jalan teruk, keretapi teruk, macam mana kita mahu saling berhubung? Ekonomi jadi lembab,” tambahnya.

Beliau turut membangkitkan isu keselamatan yang semakin membimbangkan rakyat negeri ini.

“50 tahun dulu kita masih boleh tidur lena walaupun tingkap dibuka tetapi sekarang, pasang CCTV pun masih rasa tak selamat. Ini kerana polis lebih suka menjaga keselamatan ahli politik daripada menjaga keselamatan orang awam.

“Atau sebab berlakunya banyak jenayah adalah akibat kelembapan ekonomi negeri?,” tambah Jimmy Wong.

Menurut beliau, merujuk kepada laporan Bank Dunia United Nations Development Proggramme (UNDP) pada 2010, Sabah masih merupakan negeri yang termiskin di Malaysia.

“Saya percaya rakyat Sabah mahu turut makmur bersama kekayaan negeri tetapi mimpi hanya tinggal mimpi,” katanya.

Menurutnya, empat perkara lagi membabitkan bidang pendidikan dan mencadangkan Menteri Pelajaran Sabah diberi kuasa penuh supaya mampu mengurangkan berlakunya keciciran di kalangan pelajar.

“Contohnya, isu sekolah Matanggal di Beluran yang siap pada 2011 tapi masih belum beroperasi hingga sekarang. Bila DAP bising baru mereka nak mulakan dan saya telah masukkan isu ini kepada soalan Parlimen.

“Kita juga mahu bangkitkan isu pilihan raya kerajaan tempatan. Kalau ahli majlis yang dipilih orang tidak kenal dan malas, yang dapat masalah ialah masyarakat setempat. Sebab itu pilihan raya kerajaan tempatan sangat penting,” katanya.

Jimmy Wong berkata, perkara terakhir ialah masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang boleh dianggap mereka sedang ‘menjajah’ Sabah.

“Kita tidak boleh halang orang nak cari makan di sini sebab itu adalah hak dan keperluan. Tetapi apa yang membimbangkan kerana kebanjiran mereka tidak terkawal hingga menjadi saingan tidak sihat dengan penduduk tempatan.

“Isu Ini sudah terlalu lama. Kalau ibu mengandung dia bawa bayi sembilan bulan. Isu ini sudah 50 tahun ditanggung Malaysia terutamanya di Sabah. Kami tidak mahu masa depan rakyat Sabah tergadai gara-gara dasar sambil lewa kerajaan BN terhadap PATI,” ujar beliau.-Roketkini.com