Berita

Pesakit kanser terancam: DAP gesa tambah, baiki mesin radioterapi di Sarawak

KUALA LUMPUR, 4 OKTOBER: Nasib lebih 140 penghidap kanser di Sarawak tidak menentu kerana tiga daripada lima mesin radioterapi di hospital negeri ini rosak dan mengambil masa terlalu lama untuk diperbaiki.

Ahli Parlimen DAP Kuching, Chong Chien Jen berkata, jumlah itu, tidak termasuk pesakit baru yang sepatutnya memulakan rawatan radioterapi.

“Keadaan itu sudah berlarutan beberapa hari dan ia bukan sahaja menyusahkan pesakit berkenaan dan kakitangan di kedua-dua hospital terbabit.

“Kita juga berasa risau apabila terlalu ramai pesakit menunggu dirawat, dua mesin yang boleh berfungsi itu pula digunakan melebihi masa yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan media.

Menurut Chieng Jen, pengalaman pegawai hospital, penggunaan mesin sebegitu akan menyebabkan kerosakan dalam masa dua hingga tiga hari.

“Rawatan penyakit kanser dengan radioterapi sepatutnya dijalankan mengikut jadual masa yang tertentu, sebarang kelewatan dalam menerima atau meneruskan rawatan radioterapi akan menyebabkan proses pemulihan pesakit itu terjejas.

“Pihak Kementerian perlu prihatin kerana ini membabitkan nyawa orang yang tersayang. Mereka perlu bertindak segera, baiki dan tambah mesin lagi.

“Kalau wang negara dilaporkan boleh terbazir berjuta malah berbilion begitu sahaja. Kenapa untuk menambah mesin radioterapi begitu susah?,” soal beliau.

Buat masa ini bagi seluruh Sarawak, hanya terdapat empat mesin radioterapi di Hospital Umum Sarawak dan sebuah mesin radioterapi di Hospital Pakar Pusat Jantung Kota Samarahan untuk merawat pesakit kanser.-Roketkini.com