Berita

DAP mahu polis bertindak terhadap Utusan Malaysia, kumpulan dalam UMNO sebar fitnah tubuh negeri Kristian di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 7 OKTOBER: DAP mempertikai mengapa polis tidak mengambil tindakan terhadap akhbar milik UMNO, Utusan Malaysia dan kumpulan tertentu dalam UMNO yang melakukan penipuan dan menyebarkan propaganda bahawa DAP mahu menubuhkan negeri Kristian di Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata DAP menyokong penuh kritikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pihak yang mendakwa DAP menyebarkan fahaman Kristian dan mahu menubuhkan negeri berdasarkan kepercayaan agama itu di Pulau Pinang.

“DAP konsisten menolak sebarang penubuhan negeri berdasarkan ideologi termasuk menolak negeri berdasarkan fahaman agama Kristian.

LGE“Kenyataan sedemikian tidak benar sama-sekali kerana saya dan DAP menyatakan sokongan tidak berbelah bagi terhadap agama Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Penipuan yang disebarkan kumpulan tertentu dalam UMNO dan Utusan Malaysia terhadap DAP adalah tidak berasas kerana tiada salahnya mengadakan pertemuan tertutup dengan paderi Kristian kerana pertemuan sama juga pernah diadakan bersama kumpulan agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan, di Komtar, hari ini.

Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, siasatan polis membuktikan pertemuan tertutup membabitkan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi untuk membentuk negeri Kristian adalah tidak benar.

Katanya, meskipun polis menutup laporan yang dikemukakan kumpulan dalam UMNO itu, namun tiada tindakan diambil terhadap kumpulan yang menyebarkan fitnah berkenaan.

Anwar sebelum ini mengutuk keras pihak yang mendakwa DAP cuba menyebar fahaman Kristian di Pulau Pinang serta menafikan tiada usaha seperti itu pernah dilakukan.

Menurut Anwar, jika perkara sebegitu berlaku di Pulau Pinang, PAS dan PKR sudah pasti tidak akan membenarkannya sambil menggesa hubungan baik antara kaum dan agama perlu dipelihara dan akan memikul tanggungjawab memastikan perkara itu.

Menurut beliau, mana-mana kumpulan yang ingin membangkitkan sentimen kaum dan agama perlu ditolak, walaupun mereka daripada masyarakat Islam.

Beberapa laporan polis dibuat ke atas DAP dan paderi itu dan kes berkenaan kemudiannya ditutup tanpa apa-apa tindakan ke atas mana-mana pihak.-Roketkini.com