Berita

Kit Siang desak PM bentang kertas putih bentuk jawatankuasa khas teliti Laporan Ketua Audit Negara 2012

KUALA LUMPUR, 7 OKTOBER: Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak perlu membentangkan Kertas Putih di Dewan Rakyat pada sesi persidangan mulai 21 Oktober ini mengenai tindakan dan keputusan yang diambil oleh Jawatankuasa Khas yang dibentuk untuk meneliti Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata dalam Kertas Putih berkenaan Perdana Menteri bukan saja perlu memperincikan langkah yang akan mengakhiri “kisah ngeri tahunan” dalam Laporan Ketua Audit Negara tetapi juga menjelaskan tindakan disiplin yang telah diambil oleh semua kementerian terhadap kakitangan mereka yang terbabit dalam salah laku dan melanggar tatacara umum kerajaan sehingga menyebabkan banyak wang rakyat lesap.

Menurutnya, pembentukan Jawatankuasa Khas itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, yang akan mempengerusikan jawatankuasa khas itu yang akan turut dianggotai oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Peguam Negara, dan wakil daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Kewangan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, katanya, keraguan timbul sama ada Jawatankuasa Khas berkenaan akan membawa sebarang perubahan bagi menamatkan korupsi, pembaziran wang rakyat dan penyalahgunaan kuasa dalam perkhidmatan awam seperti yang boleh dilihat menerusi Laporan Ketua Audit Negara.

lks (13)“Jika kerajaan benar-benar hendak membasmi korupsi, pembaziran, pemborosan, dan penyalahgunaan kuasa yang menelan berbilionn ringgit wang rakyat saban tahun, jawatankuasa peringkat tinggi sedemikian sepatutnya telah ditubuhkan sejurus selepas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mengemukakan Laporan Audit 2012 kepada kerajaan pada Julai lalu, bukannya sekarang, iaitu setelah pembentangan Laporan Ketua Audit Negara 2012 di Parlimen pada 1 Oktober lalu yang mula diperkatakan sejak minggu lalu.

“Apakah Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara merasa rakyat Malaysia akan percaya bahawa kedua-dua mereka tidak membaca atau mengetahui isi Laporan Ketua Audit Negara 2012 ketika ia pertama kali dikemukakan kepada kerajaan pada Julai lalu. atau adakah mereka tidak menyedari ketika itu seteruk mana korupsi, pembaziran wang rakyat, dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku seperti mana yang dapat dilihat dalam laporan berkenaan sehingga ia dibentangkan di Parlimen pada Selasa lalu dan dilaporkan secara meluas dalam media?

“Kerajaan mempunyai masa selama lebih dua bulan untuk memberi respons terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2012 sebelum ia dibentangkan di Parlimen. Justeru itu, rakyat Malaysia mengharapkan kerajaan memberi respons yang lebih baik memandangkan ia selama ini berbangga dengan Program Transformasi Kerajaan dan tidak menunggu sehingga pekung semakin berbau,” katanya dalam kenyataan media.-Roketkini.com