Berita

PM perlu jelas kepada rakyat ke mana lesap aset polis bernilai RM1.33 juta

KUALA LUMPUR, 7 OKTOBER: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, rakyat Malaysia masih belum mendapat penjelasan ke mana lesapnya aset polis bernilai RM1.33 juta, termasuk 44 pucuk senjata api, 156 pasang gari, dan 29 kenderaan antara 2010 dan 2012 seperti yang didedahkan Laporan Ketua Audit Negara 2012 sejak seminggu lalu.

Beliau juga mempertikaikan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa senjata api yang hilang “kerana terjatuh ke dalam laut,” sama ada benar atau sebaliknya.

Katanya, sebab itu Kertas Putih perlu dibentang di Parlimen bagi menjelaskan ke mana lesapnya aset polis bernilai RM1.33 juta, termasuk 44 pucuk senjata api itu.

“Kelmarin, laman web The Malaysian Insider menerbitkan berita berjudul “One down, 43 to go. One of my men reported his gun was stolen, says police task force director”, memetik kata-kata Pengarah Pasukan Tugas Khas (Operasi dan Anti Keganasan) Persekutuan, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun yang menjelaskan bahawa satu daripada 44 pucuk senjata api yang hilang itu diragut oleh seorang peragut daripada seorang anggota polis.

“Kalau benar begitu, persoalan pertama sekali timbul ialah mengapa anggota polis terbabit mengambil masa lebih setahun untuk melaporkan bahawa senjata apinya dicuri oleh seorang peragut!,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, memandangkan satu jawatankuasa peringkat tinggi sudah dibentuk, diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan dianggotai Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Peguam Negara dan wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kementerian Kewangan dan Polis Diraja Malaysia, untuk meneliti Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Katanya, sebaiknya Datuk Seri Najib Razak membentangkan Kertas Putih kepada Parlimen pada 21 Oktober ini untuk menjelaskan kepada rakyat Malaysia ke mana lesapnya aset bernilai RM1.33 juta itu, termasuk 44 pucuk senjata api, berasaskan penemuan awal Jawatankuasa Peneliti.

“Kertas Putih itu juga perlu memberi penjelasan terkini kepada rakyat Malaysia tentang sekian banyak “kisah ngeri” korupsi, pembaziran, penyalahgunaan kuasa dan kecuaian yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2012, antaranya:
* Penubuhan Sayap Udara Polis secara tidak berhemah dan menelan belanja RM175 juta, dilengkapkan dengan lima pesawat Beechcraft King Air 350
* Perbelanjaan sebanyak RM1.6 juta oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk membawa kumpulan pop Korea Selatan ke Malaysia bagi perayaan Hari Belia Kebangsaan tahun lalu, sedangkan sebelum ini dakwaan dibuat mengatakan bahawa kos membawa kumpulan itu ditanggung oleh penaja;
* Kegagalan Jabatan Kerja Raya untuk mendapatkan semula wang sebanyak RM15.77 juta dalam bentuk bon prestasi walaupun 21 projek kerajaan telah ditamatkan;
* Pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Melaka di atas tanah persendirian yang menyebabkan pampasan sebanyak RM10.8 juta terpaksa dibayar kepada pemilik tanah;
* Tuntutan perjalanan berjumlah RM303,813 oleh pegawai kanan Kementerian Komunikasi dan Kebudayaan untuk lawatan empat hari ke Geneva yang dianggarkan oleh juru audit bernilai hanya RM50,000;
* Pembaziran sebanyak RM199 juta untuk pembinaan empat jentera pembakar oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, memandangkan tiada kepakaran untuk mengendalikan jentera pembakar sedemikian sebaik saja selesai pembinaannya.
* Pembayaran terlebih oleh kerajaan kepada TM sebanyak RM11.6 juta untuk talian kecemasan 999; dan
* Salah kendali dana sebanyak RM2.051 bilion untuk membayar kontraktor keselamatan untuk sekolah antara 2010 dan 2012 – berikutan kontrak yang tidak disediakan dengan cermat dan juga pengambilan pengawal keselamatan yang telah lanjut usia.

Menurut kit Siang, jika Najib gagal membentangkan Kertas Putih ketika Parlimen bersidang semula pada 21 Oktober ini untuk memberi maklumat terkini mengenai tindakan kerajaan terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2012, maka Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan perlu menjelaskan kepada Parlimen tujuan dan manfaat pembentukan Jawatankuasa Peneliti Laporan Ketua Audit Negara 2012 peringkat tinggi itu yang diketuai Ketua Setiausaha Negara.-Roketkini.com