Berita

DAP gesa siasat hutang kad kredit RM1.26 juta Syarikat Khazanah

KUALA LUMPUR, 7 OKTOBER: Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng membuat laporan di Balai Polis Jinjang supaya penggunaan 106 kad kredit American Express tanpa had oleh pegawai tinggi Syarikat Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) hingga menyebabkan hutang tertunggak berjumlah RM1.26 juta itu disiasat.

Menurut beliau, kad kredit terbabit diperuntukkan kepada Pengarah dan Pegawai Eksekutif syarikat yang dimiliki Kementerian Kewangan itu sepertimana Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.

Sehingga 31 Disember 2012, Laporan Ketua Audit Negara menyatakan bahawa hutang itu juga gagal diisytiharkan sebahagian daripada pegawai terbabit.

lim lip eng 2“Ini adalah maklumat daripada Laporan Ketua Audit Negara sendiri, kita mahu ia disiasat,” ujar Lip Eng.

Dalam laporan yang sama, beliau turut menuntut pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan berhubung perbelanjaan persembahan K-Pop Hari Belia Negara 2012 yang mencecah RM1.6 juta.

“Saya minta pihak polis menyiasat semua pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 khususnya dua perkara ini sama ada wujud unsur penipuan, rasuah, penyelewengan dan jenayah yang lain.

“Jika ada, saya minta tangkapan dibuat dengan segera,” ujarnya.-Roketkini.com