Berita

Hutan Lipur Gunung Pulai Johor terbiar, bakal jadi tempat ‘ternak’ sampah?

KULAI, 9 OKTOBER: Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2012, Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan RM3.33 juta antara tahun 2010 dan 2012 untuk pembangunan dan pengurusan hutan lipur malah sebanyak RM3.01 juta sudah dibelanjakan.

Bagaimanapun, keadaan Hutan Lipur Gunung Pulai 1 dan Hutan Lipur Gunung Pulai 2 itu amat mengecewakan dan tidak memuaskan kerana kelihatan terbiar dan dipenuhi sampah-sarap yang bertaburan kerana tiada sistem pungutan dan pelupusan sampah yang sistematik.

Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching ketika mengulas Laporan Ketua Audit Negara itu berkata, kerajaan negeri tidak menyediakan kemudahan asas yang lebih baik untuk orang ramai beriadah.

teo nie ching“Laporan Audit pada Julai 2012 juga mendapati pondok pengawal dan pagar dawai telah dirosakkan tetapi orang awam masih memasuki Hutan Lipur Gunung Pulai 1 walaupun kawasan itu ditutup pada 2001 kerana struktur tanah yang kurang stabil.

“Kawasan air terjun di situ juga dicemari sampah sarap seperti botol plastik dan bekas polisterin yang bertaburan di merata tempat menjejaskan mata memandang.

“Walaupun Jabatan Perhutanan Negeri Johor telah membina tapak khemah jenis konkrit pada 2010 dengan kos RM7,500 di kawasan Hutan Lipur Gunung Pulai 2, Audit mendapati 15 tapak khemah dibina di kawasan yang kurang sesuai kerana tiada sumber bekalan air bersih,” katanya.

Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha DAP Kebangsaan berkata, ia termasuk tiada kemudahan surau, bilik mandi dan persalinan, meja papan, meja duduk dan lampu tetapi hanya disediakan sebuah tandas berdekatan pintu masuk yang juga terhalang oleh pokok tumbang.

“Saya menyeru agar kemudahan dan kebersihan Gunung Pulai diperbaiki dan dinaiktaraf supaya dapat dijadikan satu destinasi eko-pelancongan yang bertaraf tinggi dan berkualiti,” katanya.

Beliau juga berharap agar Kerajaan negeri Johor dapat bertindak segera dengan mendedahkan hasil kajian Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (Johor) terhadap struktur tanah Hutan Lipur Gunung Pulai 1.

Hutan Lipur Gunung Pulai 1 dibuka sejak 1987 dengan keluasan 3.5 hektar manakala Hutan Lipur Gunung Pulai 2 pada 2004 membabitkan keluasan 12 hektar.

Bagaimanapun, Hutan Lipur Gunung Pulai 1 ditutup sejak 2001 atas nasihat dan kajian Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (Johor) selepas peristiwa banjir lumpur yang menyebabkan struktur tanah menjadi kurang stabil dan dibuka semula pada 2010.-Roketkini.com