Berita

KPN patut dihadap ke Jawatankuasa Khas, PAC tidak ‘bertaring’: Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 9 OKTOBER: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sepatutnya perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Khas berkenaan Laporan Ketua Audit Negara 2012 untuk memberi penjelasan mengenai kehilangan senjata api dan aset polis, bukannya menjadi anggota jawatankuasa berkenaan.

Beliau berkata, banyak perkara yang boleh dipertikaikan mengenai pembentukan Jawatankuasa Khas yang diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa bagi mengkaji dan meneliti Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang diumumkan Sabtu lalu.

Menurut Ali, anggota jawatankuasa berkenaan adalah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Peguam Negara dan wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Kewangan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, pertikaian pertama timbul sama ada kerajaan Najib benar-benar serius hendak memastikan tahap integriti dan kebertanggungjawaban perkhidmatan awam dan Jawatankuasa Khas berkenaan bukan semata-mata satu langkah untuk mengalihkan perhatian orang ramai mengenai begitu banyak laporan buruk mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2012.

03.06.13-LKS-ceramah kluang-perjuangandi teruskan (10)“Mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2012 telah diadakan dan adakah Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak akan membentangkan Kertas Putih ketika Dewan Rakyat bersidang semula pada 21 Oktober ini dan langkah awal dan keputusan Jawatankuasa Khas berkenaan.

“Persoalan kedua dibangkitkan, mengapa Jawatankuasa Khas di peringkat tinggi itu tidak dibentuk ketika Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan menerima Laporan Ketua Audit Negara 2012 pada Julai lalu bagi membuktikan keseriusan kerajaan Najib mengenai Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), khususnya memandangkan integriti dan kebertanggungjawaban kerajaan adalah faktor utama bagi GTP yang telah memasuki tahun keempat.

“Ketiga, apa status sebenar Jawatankuasa Khas berkenaan, adakah ia wujud sebagai sesuatu yang tetap sekurang-kurangnya sepanjang kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri untuk menyelia Laporan Ketua Audit Negara mengenai akaun Kerajaan Persekutuan pada masa depan dan mengemukakan laporan secara berkala kepada Parlimen,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed telah mempertikai penubuhan Jawatankuasa Khas berkenaan kerana peranannya bertindan dengan PAC dan kedua, rakyat Malaysia tidak akan yakin dengan Jawatankuasa Khas itu kerana ia dianggotai oleh pegawai kerajaan.

Menurutnya, hujah Nur Jazlan itu ada benarnya kerana ramai rakyat Malaysia tertanya-tanya mengapa Ketua Polis Negara turut menjadi anggota Jawatankuasa Khas itu sedangkan beliau sepatutnya dihadapkan ke Jawatankuasa Khas berkenaan untuk memberi penjelasan penuh mengenai kehilangan aset polis bernilai RM1.33 juta, termasuk 44 pucuk senjata api, di antara tahun 2010 dan 2012.

“Kehilangan asxet polis itu menjadi lebih penting apabila Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang menafikan bahawa polis telah memberi penjelasan kepada Jabatan Audit mengenai kehilangan 44 pucuk senjata api berkenaan dan aset polis yang lain.

“Ambrin dalam kenyataannya kepada Malaysiakini menyangkal kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa satu laporan telah dikemukakan kepada Ketua Audit Negara mengenai aset polis yang hilang tetapi penjelasan dalam laporan itu tidak dimasukkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012,” katanya.

Beliau berkata, atas sebab ini, Ketua Polis Negara perlu dihadap ke Jawatankuasa Khas untuk memberi penjelasan penuh dan memuaskan mengenai kehilangan aset polis bernilai RM1.33 juta, termasuk 44 pucuk senjata api, 29 kenderaan 156 pasang gari, 26 walkie-talkie, 22 radio, dan beberapa peralatan lain, terutama selepas beliau memberikan respons tidak munasabah dengan mengatakan bahawa kemungkinan senjata api berkenaan telah “terjatuh ke dalam laut”.

Bagaimanapun, menurutnya, sesuatu yang merisaukan kerana tiada tanda-tanda PAC akan memanggil KPN untuk memberi penjelasan mengenai kehilangan aset polis bernilai RM1.33 juta itu.

Malaysiakini melaporkan Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan di Parlimen pada 1 Oktober lalu bahawa PAC telah mengadakan mesyuarat pertamanya dan mengenalpasti empat kementerian untuk disiasat setelah melakukan kajian awal ke atas Laporan Ketua Audit Negara 2012 iaitu membabitkan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Lapangan Terbang Kota Kinabalu, pembinaan jentera pembakar sampah dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Yang agak menghairankan mengapa PAC tidak menyenaraikan kehilangan aset polis bernilai RM1.33 juta sebagai satu daripada perkara yang akan segera disiasatnya, sedangkan orang awam mengharapkan perkara ini diberi keutamaan dalam senarai siasatan PAC.

“Ini adalah satu daripada sebab utama mengapa orang awam tidak begitu yakin dengan keupayaan PAC untuk menyekat korupsi, pembaziran, kecuaian, dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku seperti yang didedahkan dalam laporan tahunan Ketua Audit Negara, menyebabkan Ahli Parlimen dan orang awam menganggap PAC dalam bentuknya yang sekarang sebagai tidak berkesan dan tidak bertaring,” ujarnya.- Roketkini.com