Berita

Projek rumah terbengkalai bertukar milik, pembeli asal tuntut hak

AMPANG, 10 OKTOBER: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Teratai, Tiew Way Keng kesal kerana pembeli asal projek perumahan yang terbengkalai lebih 20 tahun di Taman Kencana, Ampang tidak mendapat pembelaan sewajarnya serta tidak dibawa berunding mengenai nasib mereka yang mengeluarkan wang deposit untuk membeli rumah berkenaan.

wey kengWay Keng berkata, tindakan pemaju baru, Garden Meridian Sdn Bhd yang membeli semula tanah itu untuk meneruskan projek asal daripada Jaya Kencana mendapat bantahan kerana mengetepikan pembeli asal.

“Projek ini dilaksanakan pemaju asal, Jaya Kencana pada 1991, namun ia gagal diteruskan menyebabkan Garden Meridian membeli semula tapak itu selepas syarikat Jaya Kencana gulung tikar.

“Pembelian semula projek itu mendapat bantahan pembeli asal yang mempertikaikan hak mereka sebagai pembeli yang tidak terbela selama lebih 20 tahun.

“Hak mereka yang dimaksudkan ialah daripada segi pampasan, nasib mereka sebagai pembeli daripada pemaju lama dan perkara lain yang berkaitan,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan Perancang Bandar Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), residen dan pembeli di tapak projek perumahan berkenaan.

Sehubungan itu, pembeli asal projek 47 unit perumahan dua tingkat di atas lot 38123-38129 dan lot 38145-38170, Ampang, Mohd Saifuddin Mohd Noor menggesa pemaju baru memberi penjelasan mengenai permasalahan itu yang ternyata membebankan mereka.

“Dulu rumah itu dijual pada harga RM100,000, deposit yang saya bayar sebanyak RM11,000. Jadi pemaju baru perlu ambil kira hak kami kerana kami ada kepentingan terhadap projek itu.

terbengkalai“Kami akan terus membeli rumah itu jika pemaju menawarkan harga berpatutan. Pembeli asal harus diberi kepentingan utama untuk membelinya, masalahnya proposal konkrit tidak diturunkan kepada kami,” katanya.

Menurutnya lagi, beliau hanya dimaklumkan pertukaran pemaju itu pada 2005, iaitu 10 tahun selepas membelinya pada 1995.

“20 tahun lalu dibangunkan, kami beli, kemudian hanya dalam masa dua tahun projek itu tidak dapat diteruskan.

“Mengikut surat Jabatan Perumahan Negara pada 2005, ia disahkan sebagai projek terbengkalai. Saya hanya dimaklumkan bahawa pemilik tanah itu sekarang adalah Garden Meridian, yang dibeli secara lelong daripada bank CIMB, tapi pembeli rumah tidak dipedulikan.

“Jadi kami mengambil peluang untuk membantah, MPAJ tidak seharusnya meneruskan ‘development of order’ itu sebelum mengambil kira kepentingan pembeli,” ujarnya.

Pegawai Perancang Bandar MPAJ, Puan Zurainah menyatakan pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Garden Meridian dan menyelesaikan perkara itu secepat mungkin.

“Notis yang diletakkan ini sebenarnya adalah pemberitahuan permohonan kepada Perancang Bandar. Memang projek ini terbengkalai, jadi pemaju baru beli semula tanah itu secara lelong untuk meneruskan projek pembinaan rumah teres.

terbengkalai 2“Masalahnya kini, terdapat pembeli asal projek lama perumahan itu dan pihak Garden Meridian menyatakan mereka sudah banyak kali berbincang dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS). Mereka juga memberi pilihan kepada pembeli sedia ada samada bayar ganti rugi dan pampasan atau beli rumah yang dibuat pemaju baru tapi mengikut harga semasa dengan diskaun lima peratus sebab kos semua sudah meningkat, itu yang diberitahu.

“Namun, hingga kini Garden Meridian masih belum hantar permohonan yang dijangka dalam minggu ini untuk diserahkan kepada MPAJ.

Menurut Zurainah, setakat ini beliau sudah menerima dan mendapat surat bantahan daripada pembeli melalui ADUN DAP Teratai. -Roketkini.com