Berita

DAP gesa wartakan segera Taman Tunku, pertahan sejarah negara

KUALA LUMPUR, 10 OKTOBER: DAP menggesa Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz mewartakan tapak Taman Merdeka Negara (Taman Tunku) mengikut Seksyen 40(3)(a) Akta Warisan Kebangsaan berikutan cadangan pembinaan Menara Warisan Merdeka setinggi 118 tingkat yang bakal memusnahkan nilai sejarah kemerdekaan negara.

okm 2Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, mengikut Seksyen 40, mana-mana tapak atau bangunan yang berada dalam lingkungan 200 meter daripada Tapak Warisan Kebangsaan seperti Stadium Merdeka boleh diwartakan mengikut Akta Warisan Kebangsaan.

“Kami mahu Taman Merdeka ini diwartakan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan dan menggesa kerajaan menghentikan pembinaan Menara Warisan Merdeka.

“Kedudukan Taman Merdeka negara dalam kawasan zon penampan (buffer zone) yang melayakkan ia diwarta dan sebab itu kami mahu Nazri Aziz mewartakan segera taman ini,” katanya kepada wartawan hari ini.

fong kui lunAhli Parlimen DAP Bukit Bintang, Fung Kui Lun pula berkata, seluruh kawasan sekitar dua stadium berkenaan perlu dipelihara kerana mempunyai nilai sentimental yang tinggi.

“Inilah tempat lahir negara kita. Tindakan DBKL meluluskan pembinaan ini boleh dianggap sebagai satu keputusan bodoh.

“Selain nilai sejarah, pembinaan Menara Warisan Merdeka juga akan memburukkan lagi keadaan kesesakan lalu lintas kerana di sekelilingnya terdapat lima sekolah,” tegas beliau.

Katanya, masih ada banyak ruang pejabat dan bangunan yang masih kosong dan boleh dioptimumkan untuk pelbagai tujuan.

“Kami harap Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dapat menasihatkan DBKL supaya menghentikan projek berkenaan,” katanya.

ser choonNaib Presiden Pertahankan Taman Merdeka Negara, Ser Choon Ing menggesa DBKL memberi penjelasan terhadap Taman Merdeka yang sewajarnya diwartakan sebagai Tapak Warisan negara ini.

“DBKL ‘berhutang’ penjelasan dengan orang awam, kita gesa mereka beri penjelasan,” katanya.

Pada Disember 2012 lalu, sebanyak 21 badan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan bantahan terhadap cadangan projek Pembangunan Warisan Merdeka yang turut membabitkan Menara Warisan Merdeka.

Dalam pembentangan Belanjawan 2012 yang lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembangunan Warisan Merdeka bernilai RM5 bilion melalui tiga fasa dalam tempoh 10 tahun dan akan membabitkan pembinaan pejabat, gedung membeli belah dan kondominium.-Roketkini.com