Berita

Ikut prosedur pun boleh berlaku penyelewengan jika tiada pemantauan: Tony Pua

SHAH ALAM, 11 OKTOBER: Komitmen ketua jabatan dan agensi penguatkuasaan perlu bagi menjamin tidak berlaku ketirisan, pemborosan dan penyelewengan dalam perkhidmatan awam walaupun dilakukan mengikut prosedur ditetapkan.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua Kim Swee, berkata yang penting pemantauan dilakukan setelah sesuatu pekerjaan itu selelsai dijalankan mengikut prosedur.

“Saya berpendapat, banyak prosedur boleh diikuti satu persatu tetapi perlu ingat bahawa masih banyak ruang yang boleh menyebabkan berlakunya pembaziran, pemborosan dan penyelewengan.

“Contohnya, bila pembelian pukal dilakukan, memang semua nampak okay tapi sebenarnya ada satu item misalnya berharga 20 kali ganda. Bila berlaku seperti itu, kita boleh kata macam mana pun ada dalam peruntukan, tidak lari bajet tetapi wujud elemen penyelewengan,” kata beliau dalam Wacana anjuran Sinar Harian bertajuk, “Laporan Audit: Tiris atau terlepas pandang”, di Shah Alam, semalam.

Tony Pua yang juga Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara berkata, segala urusan atau transaksi pembelian kerajaan haruslah dipantau ketua jawatan atau agensi penguatkuasaan.

IMG_2002“Kerajaan kena pantau adakah berlaku kemasukan wang (yang diragui) dalam akaun pegawai berkenaan, mereka juga boleh dipantau daripada cara hidup. (Tidak salah bermewah) tetapi bermewah yang melampaui pendapatan adalah tidak sepatutnya,” ujar Pua.

Sehubungan itu, Tony Pua turut menegur Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC) yang dianggap hanya ‘kuat mengaum tetapi tidak bertaring’.

Bagaimanapun, beliau memberi reaksi positif kepada PAC apabila bertindak terhadap laporan rasuah membabitkan ‘jerung besar’.

“Setahun dua ini ada jerung yang dibawa ke mahkamah, PAC telah buat laporan antara satu daripada laporan mengenai isu PKFZ. Dalam laporan itu kita kata bekas menteri pecah amanah, tapi bila menteri dituduh tipu Perdana Menteri, ia seperti sudah bukan isu pecah amanah.

“PAC hanya boleh buat bising tapi tidak ada kuasa. Dalam tahun lalu, PAC mungkin mesyuarat tujuh atau lapan kali tapi sering tidak dapat menyelesaikan masalah yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara. Lepas siasat, that’s it, itu sahaja,” katanya.

Perkara ini menyebabkan berlakunya lambakan aduan kes rasuah dan penyelewengan yang gagal berjaya diadili di mahkamah menyebabkan keyakinan rakyat terhadap agensi kerajaan hilang.

“Tan Sri (Ketua Pesuruhjaya SPRM) sendiri pernah membangkitkan banyak kes (penyelewengan dan rasuah) dan dibawa kepada Jabatan Peguam Negara (AG) tetapi mereka tidak ambil tindakan kes yang telah dinasihatkan SPRM. Sebab itu banyak kes rasuah tidak dapat dibawa ke mahkamah,” jelasnya.

Wacana itu dimoderatorkan oleh Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan, manakala ahli panel terdiri daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Tony Pua dan Pengerusi PAC negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed.-Roketkini.com