Berita

PM, KPN perlu nyata pendirian mengenai kenyataan Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 10 OKTOBER: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak patut terus berdiam diri mengenai perkara yang disebut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai dasar polis untuk “tembak dahulu” dalam menangani mereka yang disyaki penjenayah.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Ahmad Zahid juga secara tidak langsung menyokong kenyataan Ketua Polis Negara yang menyebut 44 pucuk senjata api polis yang hilang kemungkinan “telah jatuh ke dalam laut” selepas Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendedahkan aset polis bernilai RM1.33 juta hilang membabitkan 29 kenderaan, 156 pasang gari, 26 walki-talkie dan 22 radio.

Katanya, adakah Khalid kini akan membalas dengan menyokong kenyataan Menteri Dalam Negeri bahawa polis beroperasi atas dasar “tembak dahulu” dalam menangani pihak yang disyaki sebagai penjenayah.

lks (13)“Apa juga pendirian beliau, rakyat Malaysia berhak mendengar sendiri daripada mulut Ketua Polis Negara sama ada polis sedang menggunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang baru selari dengan pengumuman Zahid pada Sabtu lalu dan jika benar, sejak bila SOP itu berkuatkuasa.

“Suruhanjaya Siasatan Polis Diraja Tun Dzaiddin yang dibentuk mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah telah mengemukakan 125 saranan pada 2005 untuk membentuk pasukan polis yang cekap, bertanggungjawab, amanah, bersih, profesional, dan bertaraf dunia dengan tiga fungsi teras iaitu mengurangkan jenayah, membasmi korupsi dan menegakkan hak asasi manusia.

“Bagaimanapun, adakah pasukan polis bertaraf dunia yang menjalankan ketiga-tiga fungsi teras itu dengan menggunakan dasar “tembak dahulu” dalam menangani mereka yang disyaki penjenayah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, keadaan sekarang sangat menyedihkan kerana ketiga-tiga fungsi teras yang disebut Suruhanjaya Siasatan Polis Diraja Dzaiddin lapan tahun lalu itu masih belum dilaksanakan.

Katanya, bukan hanya Perdana Menteri yang perlu bersuara mengenai sama ada kerajaannya menyetujui dan menyokong dasar polis untuk “tembak dahulu” dalam menangani mereka yang disyaki penjenayah, malah mesyuarat Kabinet esok perlu membuat pendirian mengenai isu itu.

Malah, beliau berkata, Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) juga perlu mengadakan mesyuarat tergempar untuk menyatakan pendirian mereka terhadap dasar yang disebut Zahid itu.-Roketkini.com