Berita

Pemuda DAP Perak desak Zahid letak jawatan, jika mahu jadi menteri samseng

IPOH, 10 OKTOBER: Pemuda DAP Perak menasihatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya meletakkan jawatan jika beliau lebih selesa menjadi menteri untuk kumpulan samseng.

Setiausaha Pemuda DAP Perak, Howard Lee Chuan How, berkata tindakan tidak senonoh Zahid yang dilihat cenderung membela kumpulan samseng Melayu dalam satu majlis di Melaka baru-baru ini amat memalukan.

“Beliau bukan sahaja menunjukkan kecenderungan perkauman tapi jelas mempamerkan kelakuan seperti seorang pembuli dan ketua samseng besar.

HOWARD LEE SIMEE IPOH“Jenayah tidak mengenal kaum. Beliau sepatutnya mengecam sekeras-kerasnya gejala gangsterism secara menyeluruh tanpa mengira kaum dan bukannya menganggap sebahagian kumpulan samseng ini sebagai kawan dan adik-beradik,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP itu berkata, Zahid sepatutnya menunjukkan sikap profesional berkhidmat dengan penuh tanggungjawab dan berwibawa.

“Adakah Menteri Dalam Negeri ini menteri untuk rakyat Malaysia atau menteri untuk ayahanda dan adik-beradik?

“Jika ya, mungkin Perdana Menteri perlu mewujudkan satu lagi Kementerian di kalangan kementerian yang banyak itu khas untuk melindungi dan mentadbir golongan samseng dan gangster,” katanya sinis.

Selain itu, kata Howard Lee, sikap angkuh dan sombong yang dipamerkan Zahid juga amat dikesali.

“Sebagai contoh, beliau cuba dengan angkuh menunjuk-nunjuk kepada perwakilan UMNO bahawa beliau adalah lebih hebat dan tegas berbanding mantan Menteri Dalam Negeri terdahulu.

“Ini jelas apabila beliau mengatakan pindaan Akta Pencegahan Jenayah (Prevention of Crime Act 1959) adalah atas usaha beliau, atau daripada petikan kata-kata beliau yang angkuh lagi sombong, ‘undang-undang saya’ untuk membantu pihak polis melindungi komuniti Melayu daripada kejahatan dan aktiviti jenayah yang dilakukan bukan Melayu,” kata Howard Lee.

“Jelas dan nyata sikap Menteri Dalam Negeri ini seolah-olah demi mendapat sokongan perwakilan UMNO untuk pemilihan parti itu.

“Nampaknya beliau lebih rela mengorbankan jawatan menteri untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO.

“Kenyataan dan tindakan beliau sejak kebelakangan ini makin tidak masuk akal,” katanya lagi.-Roketkini.com