Berita

Sukarelawan Impian Sarawak kecewa kenyataan Dr Jerip perlekeh projek paip air graviti

KUCHING, 13 OKTOBER: Sukarelawan ‘Impian Sarawak’, Kwang Cheng Yee kecewa dengan kenyataan Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil yang memperlekehkan penduduk dan projek paip air graviti yang dilaksanakan di Kampung Sait-Muk Ayun, di negeri itu.

Beliau yang merupakan seorang daripada sukarelawan yang terbabit dengan projek paip air graviti di kampung itu sejak seminggu lalu juga kesal dengan tuduhan bahawa DAP mengambil kesempatan ke atas penduduk kampung serta tuduhan bahawa orang Cina yang memasuki kawasan luar bandar tidak memahami budaya, cara hidup, keperluan serta masalah di situ.

Beliau berkata, sepatutnya Dr Jerip sebagai orang tempatan Sarawak sepatutnya faham dengan kesukaran yang dihadapi penduduk Kampung Sait-Muk Ayun, bukannya memperlekehkan projek untuk kemudahan.

Sehubungan itu, Cheng Yee bertanya sama ada Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bengoh melawat kampung berkenaan serta kawasan sekitar dengan berjalan kaki dan mendaki bukit-bukau, bukannya dengan menaiki helikopter.

“Jika Kerajaan Negeri Sarawak faham akan keperluan serta masalah penduduk, kerajaan negeri yang kaya dengan sumber hasil dan Barisan Nasional (BN) sudah lama bertapak di Sarawak sudah pasti tidak akan membiarkan penduduk Kampung Sait-Muk Ayun hidup dalam kesusahan untuk mendapatkan bekalan air bersih.

“DAP yang membantu menjayakan projek itu tidak mendapat manfaat daripada penduduk cuma mahu mereka juga dapat menikmati kemudahan seperti penduduk bandar,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Chee Yee, sukarelawan ‘Impian Sarawak’ tidak mungkin mengusahakan projek paip air graviti itu jika kerajaan BN Sarawak sudah menyediakan kemudahan untuk mereka, bukannya mengabaikan penduduk di kawasan luar bandar.

“Penduduk Kampung Sait adalah orang asal dan Bumiputera yang sepatutnya BN memahami cara hidup mereka yang bergantung kepada tanah untuk bercucuk tanam dan menternak haiwan, tidak mungkin mereka akan berpindah dan mencari nafkah di bandar.

“Saya tidak menafikan bahawa ada yang ingin berpindah ke bandar menerima proses modenisasi, tetapi kebanyakan penduduk yang ditemui menyatakan hasrat mereka untuk terus menetap di kampung mereka,” katanya.

Beliau berkata, penduduk Kampung Sait ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, tidak sewajarnya mendesak mereka berpindah ke bandar dengan kos sara hidup tinggi.

Sehubungan itu, beliau mencabar BN menyediakan keperluan asas seperti bekalan air, elektrik, kemudahan pendidikan untuk kanak-kanak dan memastikan kesihatan penduduk kampung diambil kira, termasuk menghantar doktor dan bekalan ubat ke kawasan kampung secara lebih kerap.

Katanya, permintaan di atas bukan sesuatu yang sukar bagi BN sekiranya mereka ikhlas untuk membantu penduduk kampung yang semakin dipinggirkan.

Justeru itu, terpulang kepada Dr Jerip atau BN untuk melemparkan tuduhan bahawa projek Impian Sarawak itu bersifat politik dan memperkecilkan DAP atau sukarelawan yang telah bertungkus-lumus dan berganding bahu bersama penduduk Kampung Sait untuk menjayakan projek paip graviti itu. – Roketkini.com