Berita

PRK Sungai Limau: BN akan ulangi kekalahan

ALOR SETAR, 14 OKTOBER: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir harus mengambil iktibar padah yang pernah menimpa bapanya pada pilihan raya umum 1969 di kerusi Kota Setar.

Menurut Pengerusi Interim DAP Kedah Zairil Khir Johari, ia susulan laporan media memetik bahawa Menteri Besar Kedah itu berkata bahawa kerajaan beliau tidak akan melayan sebarang permintaan daripada sekolah vernakular Cina sebaliknya hanya akan memberi keutamaan kepada sekolah kebangsaan sahaja.

“Mukhriz telah mewajarkan kenyataannya dengan alasan bahawa beliau tidak boleh mengabaikan pengundi yang telah menyokongnya dalam pilihan raya umum lalu.

“Ia bukan sahaja tidak bertanggungjawab dan bersifat dendam, tetapi seolah-olah tidak belajar dari sejarah,” kata Zairil.

Menceritakan lanjut Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera itu berkata, bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah membuat kenyataan yang serupa dalam pilihan raya tahunn 1969.

“Tun mengeluarkan kenyataan, bahawa beliau tidak memerlukan sokongan kaum Cina untuk menang dalam pilihan raya.

“Tetapi akhirnya beliau telah tewas di kerusi Kota Setar,” katanya.

Zairil juga tidak menolak kemungkinan BN akan ditimpa nasib yang sama dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Limau seperti yang dialami Tun Mahathir pada 1969 jika Mukhriz tidak menarik balik kenyataannya.

Dalam perkara terbabit, Zairil mengesyorkan kepada Mukhriz supaya belajar daripada contoh yang ditunjukkan kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor dan Pulau Pinang.

“Kerajaan PR bagi bantuan kebajikan kepada Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Cina dan Tamil serta sekolah mubaligh, bantuan ini adalah ikhlas dan tidak berunsur politik.

“Begitu juga dengan program-program bantuan tahunan kepada warga emas, ibu tunggal, OKU, murid sekolah, para nelayan dan juga pemandu teksi,” katanya.-Roketkini.com