Berita

Tayang filem Tanda Putera kepada kakitangan, usaha MAS tutup masalah hutang

KUALA LUMPUR, 14 OKTOBER: DAP hari ini mengecam tindakan Malaysian Airlines (MAS) mengadakan tayangan khas filem ‘Tanda Putera’ sebagai hadiah untuk pekerja mereka bagi menyambut ulang tahun 41 syarikat penerbangan itu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tindakan itu menghina pelanggan MAS yang tersinggung dengan penipuan kerana filem itu bukan sahaja salah dari segi sejarah malah perupakan penghinaan berbaur perkauman.

“Apa jenis motivasi yang dapat dijadikan sumber inspirasi daripada filem tidak popular dan diragui itu buat para pekerja MAS demi menjangkau prestasi lebih terutama untuk mengubah kerugian-kerugian besarnya selama ini? Bagaimana mungkin Tanda Putera dapat menjadi sumber motivasi kepada kakitangan MAS padahal filem tersebut adalah penuh penipuan?

“Tindakan MAS meraikan ulangtahun ke 41-nya dengan menayangkan ‘Tanda Putera’ sebagai ‘hadiah istimewa’ kepada kakitangan adalah satu tindakan penafian terhadap krisis kewangannya yang begitu buruk dengan hutang membukit dan simpanan tunai kian berkurang. Bagaimana mungkin Tanda Putera dapat menjadi sumber motivasi kepada kakitangan MAS padahal filem tersebut adalah penuh penipuan?

“Pengumuman Pengarah Urusan MAS itu juga menghina pelanggan yang tersinggung dengan penipuan filem tersebut yang jelas salah dari segi fakta sejarah malah pihak ‘Tanda Putera’ sendiri mengakui bahawa mereka telah berbohong dengan alasan lemahnya kononnya menggunakan lesen kreatif,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen DAP Bagan itu turut mempersoalkan agenda sebenar MAS itu, apakah ia dilakukan kerana begitu terdesak dan terpaksa bergantung kepada penipuan untuk mengelirukan orang awam demi membukti mereka masih menjana keuntungan.

“Tidak hairanlah kenapa CIMB Research meletakkan penilain prestasi rendah terhadap saham MAS. Atau adakah MAS kini begitu terdesak untuk bergantung kepada penipuan ‘Tanda Putera’ untuk mengelirukan orang awam dan dirinya sendiri bahawa mereka masih menjana keuntungan? Rakyat tidak akan mudah tertipu. Orang awam boleh membanding prestasi buruk MAS walaupun begitu banyak dana awam telah dilaburkan, berbanding dengan Air Asia Bhd.

“Meskipun tidak menerima satu sen dana awam, Air Asia begitu konsisten memperlihatkan prestasi cemerlang berbanding MAS dengan tambang yang lebih murah dan kini lebih hebat dari MAS dalam hal permodalan pasaran, pesawat dan harga saham. Rakyat berhak mempersoal nilai wang bagi RM19 bilion dibelanjakan Kerajaan sejak 1998 bagi memastikan MAS boleh membayar hutang-hutangnya, termasuk menjamin pinjaman berjumlah RM12.3 bilion.

“Dengan menayangkan sebuah filem politik yang dipenuhi penipuan sebagai hadiah istimewa buat kakitangan, MAS memberi isyarat yang salah bahawa ia sebenar-benarnya telah kehilangan arah. Jelas sekali MAS tidak tahu bagaimana untuk mengurus pemulihan korporat supaya dapat menjana keuntungan, tetapi sebaliknya bergantung kepada penipuan dan mencampur aduk politik dan bisnes demi menyelamatkan dirinya dengan mendapatkan lebih banyak bantuan kewangan daripada Kerajaan,” tegasnya.

Penerbit filem ‘Tanda Putera’ sebelum ini telah mengakui kesilapan yang mereka lakukan apabila menuduh kononnya pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang telah membuang air kecil pada tiang bendera dalam satu perkongsian Facebook tahun lalu.

Laman Facebook ‘Tanda Putera’ juga telah memohon maaf kepada pemimpin DAP, Lim Kit Siang yang dimalukan akibat daripada pembohongan sedemikian. Media seliaan UMNO, Utusan Malaysia juga telah meminta maaf kepada Kit Siang dan Guan Eng kerana membuat pembohongan serupa. – Roketkini.com