Berita

DAP akan ambil tindakan terhadap anggota parti ‘berhati BN’

KUALA LUMPUR, 16 OKTOBER: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan tindakan tatatertib akan diambil terhadap anggota parti yang ‘memakai lencana roket, tapi berhati BN’ yang cuba mensabotaj DAP.

Beliau berkata, tindakan undang-undang juga akan diambil terhadap media seliaan UMNO/BN yang berterusan memfitnah DAP dengan pembohongan dan penipuan.

pix-guan-eng“Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke dan Ketua Biro Undang-Undang, Gobind Singh Deo masing-masing telah diarahkan untuk menyiasat dan mengambil tindakan disiplin terhadap ahli-ahli parti yang ‘memakai lencana roket, tapi berhati BN’.

Anthony kemudian akan diminta untuk mengemukakan aduan rasmi jika ada asas untuk tindakan lanjut untuk dilaksanakan oleh Jawatankuasa Tatatertib yang diketuai Tan Kok Wai.

“Pada masa sama, Gobind akan mengkaji kenyataan yang disiarkan media kawalan BN untuk memfailkan saman fitnah dengan segera supaya parti dapat dilindungi dari tertakluk kepada serangan lain yang boleh memberi peluang kepada mana-mana tindakan keras atau menindas oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Masanya telah tiba untuk 150,000 ahli DAP bergerak ke hadapan untuk merealisasikan impian Malaysia melalui laungan perjuangan untuk menggantikan BN pada pilihan raya akan umum datang dengan angota-angota parti yang benar-benar setia memakai kedua-dua iaitu lencana roket dan berhati DAP,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen DAP Bagan mengecam keras tindakan media UMNO/BN yang masih menyerang DAP walaupun pemilihan semula CEC telah dijalankan mengikut prosedur termasuk melantik firma perakaunan antarabangsa sebagai pemantau.

“Di sebalik pemilihan semula yang kedua-duanya mengikut undang-undang dan sah, DAP terus dituduh menipu. Suka saya ingatkan, pemilihan UMNO sendiri tidak dipantau dan disahkan oleh firma perakaunan antarabangsa seperti DAP.

“DAP harus mengambil tindakan undang-undang untuk melindungi diri dari pembohongan serta penipuan BN dan medianya seperti New Straits Times dan Utusan Malaysia yang menggunakan taktik ‘mengalihkan pembohongan kepada kebenaran dengan mengulangi penipuan 10,000 kali’.

“Orang ramai sudah tidak dapat mengira lagi berapa banyak Utusan dan New Straits Times telah memohon maaf kepada pemimpin PR.

DAP telah mencipta sejarah dengan menjadi parti politik pertama Malaysia melantik sebuah firma perakaunan antarabangsa untuk memantau keseluruhan proses pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada 29 September lalu.

Pemilihan semula itu berikutan arahan dari Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan demi untuk mengelakkan dari tindakan lebih kejam iaitu pengharaman parti. -Roketkini.com