Rencana

CABAI BURUNG: Perang dah tamat, orang lama dan baru kena pakat buat muafakat

cabai-burungA1Kita tidak menolak bahawa UMNO parti korup, parti perkauman. Pun begitu, kita juga tidak boleh nafikan bahawa tanpa budaya rasuah dan perkauman UMNO-BN, DAP dan Pakatan Rakyat tidak boleh menang besar.

Ini realiti politik hitam putih yang ramai tak sedar. Ini kita kena terima dengan terbuka.

Cerita menang kalah PR mahu pun BN sudah selesai selepas pengumuman dibuat SPR. Pendengaran petisyen di mahkamah juga sudah tamat.

Jadi, sekarang adalah masa buat para wakil rakyat memberi tumpuan berkhidmat kepada masyarakat kawasan masing-masing.

Kerja oposisi bukanlah semata-mata mengkritik. Begitu juga dipihak kerajaan. Dalam sistem demokrasi beparlimen, dua elemen ini saling memerlukan demi check and balance.

Cerita DAP

Pasca PRU13 menunjukkan DAP makin kuat dan besar malah semakin ramai disertai golongan muda. Di mana pun pentas dibuka, parti ini digeruni lawan kerana komitmen tinggi parti menentang penyelewengan dan salah guna kuasa.

Kini, DAP bukan sahaja lagi parti pilihan ‘Cina pekan atau kampung baru’. DAP juga bukan semata-mata pilihan budak sekolah lepasan SRJK. DAP sekarang semakin padu dengan pelbagai imej dan aliran pemikiran dari pelbagai latar pendidikan. DAP adalah wadah semua golongan.

Pun begitu, dalam usaha murni parti meraikan kepelbagaian, memperbaiki urustadbir negara, ia tetap tidak sepi dari suara-suara sumbang yang boleh merencatkan usaha ini.

Pemimpin DAP lupa diri?

Ada pemimpin dan wakil-wakil rakyat seperti lupa tanggungjawab hakiki mereka berkhidmat kepada masyarakat dan masih sibuk bersilat digelanggang sendiri walau pun sudah habis masa pilihan raya dan pemilihan parti.

Yang tdak puas hati keluar parti, ada yang letak jawatan dan ada juga yang seronok tuduh itu dan ini di media arus perdana. Apa pun, sebagai parti yang demokratik, itu hak mereka.

Persoalannya ialah, mengapa perkara seperti ini boleh berlaku ke atas DAP?

Adakah mereka rasa kedudukan mereka terancam dengan kemasukan ramai ahli dan wakil-wakil rakyat baru?

Adakah mereka tidak boleh menerima aspirasi perjuangan DAP yang lebih segar dan pelbagai?

Adakah golongan pelapis muda tidak diperlukan dalam memacu perjuangan murni DAP mencapai Impian Malaysia?

Jika begitu tanggapan mereka, maka ianya tak tumpah seperti perangai pemimpin-pemimpin UMNO yang selama ini dikritik habis-habisan. Bak kata pepatah lama, “Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih”.-Roketkini.com