Berita

DAP cetus fenomena baru perubahan pedalaman Sarawak

KUCHING, 16 OKTOBER: DAP Sarawak mengorak langkah kehadapan dengan melancarkan risalah berita berkala dalam menyampaikan maklumat dan fakta sebenar terhadap pelbagai isu semasa.

Pengedaran risalah berita ini akan memberi tumpuan kepada penduduk luar bandar negeri itu dimana akses terhadap maklumat alternatif adalah terhad.

Menurut Pengerusi DAP negeri Chong Chieng Jen, objektif utama risalah berita ini diwujudkan adalah untuk membantu parti dalam menjayakan projek Impian Sarawak dan kempen ‘DAP Go Rural’.

chong chien jien 2“Kita (oposisi) mempunyai kekangan untuk salurkan maklumat kepada penduduk pedalaman dan luar bandar tetapi Barisan Nasional (BN) boleh berbuat demikian dengan bantuan stesen radio, televisyen dan media cetak,” katanya.

Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching itu berkata, antara maklumat yang akan dimuatkan dalam risalah berita itu antaranya pendedahan terhadap penyelewengan, rasuah, ketirisan, ketidakcekapan kerajaan BN menguruskan dana awam.

“Selain itu kita juga mahu mendidik masyarakat terhadap dasar dan perjuangan DAP yang sering dimomokkan dengan pelbagai fitnah,” ujarnya.

Katanya, sebanyak 20,000 naskhah risalah berita itu akan dicetak dalam bahasa Melayu dan diedarkan secara percuma buat permulaan operasi.

“Kita merancang menerbitkannya secara bulanan dan berharap penyokong (DAP) mahu pun orang awam dapat memberi sumbangan derma kerana ia memerlukan perbelanjaan besar,” ujarnya.

Tambahnya, selain risalah berita tersebut, pihaknya akan terus menggunakan perkhidmatan Radio Free Sarawak (RFS) sebagai medium penyampai maklumat. – Roketkini.com