Berita

Keputusan kes kalimah ‘Allah’ bercanggah Perlembagaan

KUALA LUMPUR, 16 OKTOBER: Ahli Parlimen DAP, Dr Ong Kian Ming menyifatkan tindakan Mahkamah Rayuan melarang penggunaan kata Allah oleh penerbitan Gereja Katolik, the Herald, dalam Bahasa Kebangsaan akan menyebabkan implikasi luas terhadap bahan penerbitan agama itu di seluruh negara.

Beliau berkata, alasan yang diberikan oleh panel tiga hakim dalam penghakiman amat mengecewakan serta membuktikan ketidakfahaman mereka terhadap amalan agama Kristian.

“Kenyataan ‘ia adalah penemuan kami bahawa penggunaan nama Allah bukan merupakan sebahagian daripada iman dan amalan agama Kristian’, seperti yang ditulis dalam rumusan penghakiman menunjukkan bahawa hakim-hakim langsung tidak memahami amalan penganut agama Kristian di kalangan warganegara Bumiputera Sabah dan Sarawak yang telah menggunakan nama Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam doa-doa, lagu-lagu dan kitab mereka sejak turun-temurun lagi.

“Datuk Mohd Zawawi bin Salleh, salah seorang hakim yang terlibat dalam kes ini, telah memetik beberapa sumber Kristian dari luar Malaysia sebagai bukti bahawa penganut agama Kristian pun tidak bersetuju dengan penggunaan kalimah ‘Allah’. Malangnya, perbuatan beliau sememangnya mengabaikan amalan masyarakat Bumiputera Kristian di Sabah dan Sarawak yang ada persefahaman sebulat suara bahawa ‘Allah’ akan terus digunakan untuk merujuk kepada Tuhan.

“Malah, dengan memetik sumber sewenang-wenangnya termasuk sekeping pendapat oleh Brutus Balan yang diterbitkan di laman web yang dikendalikan oleh Daniel Pipes, seorang akademik di Amerika Syarikat yang terkenal kerana pandangan berhaluan kanan (‘right-wing’) serta Fox News, jelas menunjukkan kejahilan beliau sendiri terhadap perkara ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Kian Ming turut mengecam pengarang rumusan penghakiman, Datuk Sri Haji Mohamed Apandi Haji Ali yang telah menulis bahawa ‘penggunaan perkataan Allah’ terutama dalam versi Bahasa Kebangsaan Herald adalah tanpa ragu-ragu mempunyai potensi untuk menggangu rentak hidup masyarakat dalam negara.

Mohamed Apandi dalam rumusannya mengatakan bahawa penyiaran itu pasti akan mempunyai kesan buruk sebagaimana yang dibayangkan dibawah perkara 3(1) dan hak agama-agama lain diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana bahagian persekutuan.

palace justice“Pandangan ini jelas memperkecilkan masyarakat Kristian Bumiputera di Malaysia dan langsung tidak mengambil kira hubungan baik antara orang Kristian dan Islam di Sabah dan Sarawak.

“Sebarang ancaman tidak pernah wujud di Sabah dan Sarawak dimana orang Kristian Bumiputera telah menggunakan perkataan Allah sejak turun temurun,” ujarnya.

Beliau juga melahirkan kekesalannya berikutan keputusan hakim Mahkamah Rayuan itu yang mana sekaligus menafikan hak kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai ahli parlimen, saya sedih kerana hak kebebasan agama iaitu hak asasi manusia yang penting dan termaktub dalam Perkara 3, 8 dan 11 Perlembagaan Persekutuan dapat dinafikan begitu sahaja atas alasan perundangan yang tidak wajar dan tidak munasabah kononnya untuk melindungi ‘keamanan dan keharmonian’.

“Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya susah hati kerana terdapat pelbagai kumpulan dan juga individu beragama Islam, termasuk hakim dalam kes ini, yang menuduh kononnya wujud agenda besar orang Kristian untuk ‘mengkristiankan’ umat Islam dengan menggunakan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitan Kristian.

“Padahal ‘Allah’ telah digunakan orang Kristian di Sabah dan Sarawak untuk turun-temurun tanpa sebarang ancaman atau kejadian penukaran agama beramai-ramai dari agama Islam kepada agama Kristian,” keluhnya. -Roketkini.com