Berita

Tindakan bodoh KPN undang orang awam sertai operai polis diselar

KUALA LUMPUR, 16 OKTOBER: DAP mahu kerajaan Malaysia bertanggungjawab terhadap sebarang kemungkinan buruk yang bakal menimpa Ahli Parlimen PKR Padang Serai N Surendran apabila Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar mengundang Ahli Parlimen itu untuk turut serta dalam operasi polis.

Menurut Ahli Parlimen DAP Puchong Gobind Singh Deo, undangan bodoh dan mengarut Khalid seperti itu tidak sepatutnya berlaku malah beliau perlu profesional dan menerima segala kelemahan ke atas sebarang kritikan ke atas pasukannya.

“Kerajaan malaysia mesti bertanggungjawab jika berlaku sebarang perkara yang tidak wajar ke atas Surendran,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata beliau, ini juga bukan bererti Peguam Negara yang merupakan penasihat undang-undang tertinggi kerajaan boleh diam membisu.

gobind mug“Pihak Peguam Negara sepatutnya memberitahu kita apakah Standard Operating Procedures (SOP) yang membolehkan orang awam menyertai operasi itu.

“Beliau perlu memberitahu undang-undang atau akta manakah yang membolehkan KPN menjemput orang awam biasa menyertai operasi sedemikian padahal operasi seperti itu dilakukan oleh mereka yang terlatih sahaja,” jelas Gobind.

Pengerusi Biro Undang-undang DAP itu juga meminta pihak Peguam Negara memberi pandangan perundangannya terhadap tindakan KPN yang meminta Surendran menandatangani satu surat perjanjian perlindungan yang antara lain akan melepaskan tanggungjawab terhadap Surendran jika berlaku sebarang kecelakaan.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya menggesa Peguam Negara menasihati KPN samada tindakannya melanggar undang-undang atau sebaliknya.

“Mungkin beliau juga boleh menasihati KPN terhadap kritikan pasukannya dalam mengendalikan tembakan dan bukannya dengan seorang Ahli Parlimen,” katanya.

Pada 11 Oktober baru-baru ini, Khalid Abu Bakar dalam akaun Twitternya telah menjemput Ahli Parlimen PKR Padang Serai N Surendran yang juga Naib Presiden PKR untuk menyertai operasi polis membanteras penjenayah.

Beliau berkata tujuan undangan itu untuk memberitau apa yang akan berlaku ketika polis berhadapan dengan penjenayah dalam operasi yang dijalankan.-Roketkini.com