Rencana

Misi kecil untuk visi besar – Oleh Liew Chin Tong

Dari 8 Mac 2008 hinggalah 5 Mei 2013, satu-satunya matlamat yang kita sasarkan adalah untuk menawan Putrajaya.  Namun, pergolakan senario politik pasca-pilihanraya umum ke-13 mencorakkan pelbagai kemungkinan.  Apapun yang berlaku, kita tetap bersedia untuk mengharungi liku-liku perjuangan pada masa depan.  Misi dan impian yang kecil akan kita sempurnakan, sebelum kita mencapai matlamat dan visi yang besar.

Jelas, UMNO semakin terpesong dari “politik wasatiyyah”-nya selepas 5 Mei 2013.  Padahal, sejak Wawasan 2020 digagaskan oleh Mahathir Mohamad pada Februai 1991, sehinggalah Julai 2005 sebelum Hishammuddin Hussein menghunuskan kerisnya, UMNO meraih sokongan bukan Melayu atas pagar dalam PRU pada tahun 1995, 1999 dan 2004.  Namun selepas keris dijulang, disusuli pula dengan retorik perkaumannya yang melampau, UMNO kehilangan sokongan pengundi Cina, India, dan bumiputera bukan muslim, golongan kristian di Sabah-Sarawak.  Dasar ekonomi yang mendahulukan kroni telah menjurus kepada gejala rasuah yang semakin berleluasa, turut menghakis sokongan pengundi Melayu terhadap UMNO di bandar.

pakatan rakyat leaders pixSeandainya UMNO terus dengan asakan politik ekstrem di pinggiran, sementara ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat tidak berganjak dari kedudukan pertengahan dalam gelanggang dengan politik kesederhanaan, maka lanskap politik 5 tahun akan datang dijangkakan tidak banyak berbeza dari tahun 2008 dan 2013.  Maknanya BN gagal melemahkan momentum kebangkitan rakyat untuk menyokong PR.  Sebaliknya, jikalau Malaysia terus menolak reformasi atau penambahbaikan sistem ekonomi dalaman, maka kita akan mudah terkesan dengan perkembangan ekonomi global.  Andaikan harga bahan mentah, misalnya kelapa sawit jatuh merudum, ditambah pula dengan gejala rasuah yang semakin parah, maka kebarangkalian tumbangnya BN akan melonjak.

Bagaimanapun, UMNO mungkin juga melakukan pusingan U, sebagaimana yang dilakukan pada tahun 1991 dengan menghidangkan Wawasan 2020.  UMNO mungkin terselamat jikalau rasuah dibanteras, dan jurang kaya-miskin dirapatkan pada masa akan datang.  Tak usahlah kita membazir masa di sini untuk membincangkan parti komponen BN bukan UMNO, yang kini hanya relevan sebagai hiasan semata-mata.

Untuk PR pula, bertahan di kedudukan pertengahan dengan politik keserdehanaan adalah satu cabaran.  Pimpinan PKR diuji sama ada anjakan paradigma dari “generasi bekas UMNO” kepada “generasi Reformasi” mampu dijayakan, lantas meraih sokongan rakyat dengan politik barunya.

PAS pula diselubungi sentimen yang pernah dirasai DAP ketika menarik diri dari Barisan Alternatif pada tahun 2001.  Rata-rata menganggap propaganda UMNO untuk memburuk-burukkan DAP berkesan sehingga menjejaskan sokongan Melayu terhadap PAS.  Pemilihan PAS November ini penting sebagai penentu sama ada PAS akan terus kekal dalam arus perdana dengan mempertahankan politik kesederhanaan.

DAP tidak terelak untuk berdepan dengan dua cabaran, iaitu membebaskan diri sepenuhnya dari keterbatasan politik perkauman, mengungkapkan hujah politik baru yang boleh diterima Melayu dan bumiputera Sabah-Sarawak.  Keduanya, DAP perlu meyakinkan pengundi dengan prestasi pemerintahan kerajaan peringkat negeri dan wakil rakyat, bahawa DAP sebagai parti yang beridealisme, berwawasan dan mampu menjadi sebahagian daripada pasukan PR untuk membentuk “kerajaan akan datang”.

mid msiaApapun yang berlaku, tamparan paling sengit PRU13 buat BN adalah, Malaysia telah menjadi satu masyarakat 50-50 semenjak tahun 2008, memperlihatkan kedudukan pemerintah dan pembangkang yang agak setara dari segi undinya – walau apapun gula dan fitnah yang ditabur, bahkan ugutan dengan kuasa dalam tangan.

Apa pula iktibar PRU13 untuk PR?  Barangkali ramai yang terlepas pandang, bahawa politik peringkat kenegerian lebih penting daripada politik yang cuba dibayangkan PR di peringkat pusat.  Peranan politik peringkat kenegerian terserlah, khususnya dalam politik Melayu.  PR kecundang di Kedah, tatkala undi Melayu bertambah sedikit untuk PR di negeri jirannya, Pulau Pinang.  PAS yang sama berjaya menambah kerusi DUN secara berganda di Selangor, dan amat menonjol di Terengganu.

Ringkasnya, kita berdepan dengan senario di mana pesaing politik kita mungkin beralih untuk mendampingi politik kesederhanaan, sementara PR sendiri mungkin gagal bertahan di kedudukan pertengahan.  Namun demikian, masyarakat kita sudah memasuki fasa di mana kekuatan pemerintah-pembangkang amat setara, dan politik peringkat kenegerian semakin penting peranannya.

Untuk 5 tahun yang lalu kita berhempas-pulas demi satu matlamat yang besar, iaitu menawan Putrajaya.  Namun kita juga perlu menyempurnakan impian-impian yang kecil sepanjang jalan menuju ke arah matlamat besar ini, terutamanya pembinaan komuniti tempatan.  Kuasa pemerintahan persekutuan dikekalkan sebagai matlamat besar, tetapi perlu juga kita kembali ke peringkat tempatan, mencurahkan daya usaha untuk pembangunan politik (misalnya jalinan yang lebih erat di kalangan pimpinan PR tempatan), ekonomi dan komuniti di negeri, malah bandar yang berasingan.

Ramai yang belum terkeluar dari suasana kemurungan selepas 5 Mei 2013.  Namun, sebagai pejuang politik, kita perlu bersedia untuk mendepani zaman.  Antara jawapannya, kita perlu menyempurnakan impian kecil, berkiblatkan halatuju perjuangan yang benar dan nyata – sebelum menggarap kemenangan besar pada masa depan.  Kerajaan negeri PR perlu diurus tadbir dengan baik.  Laungan idealisme hanya disahut apabila rakyat merasai kenikmatan demokrasi di bawah pentadbiran PR.

Liew Chin Tong adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP merangkap Ahli Parlimen Kluang. Tulisan ini pernah disiarkan dalam akhbar edisi cetak Harakah