Berita

DAP gesa Perdana Menteri perjelas rancangan potong subsidi

KUALA LUMPUR, 16 OKTOBER: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini menuntut Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak supaya menjelaskan rancangannya untuk memotong subsidi, meluaskan sumber cukai dan menguruskan perbelanjaan dengan berhemat bagi mengelak penilaian kredit Malaysia dari dipotong oleh Fitch Ratings.

Beliau berkata, Najib bertanggungjawab untuk memperjelaskan maksud sebenarnya, terutama apabila kerajaan BN gagal menangani rasuah sehingga Washington Post menyiarkan rencana tentang Malaysia menjadi juara dunia dalam rasuah.

LGE-IMG_8211 (1)“Janji-janji untuk menguruskan perbelanjaan secara berhemah tidak bermakna apabila tidak ada tindakan atau hukuman diberikan terhadap mereka yang bertanggungjawab ke atas lebihan, pembaziran dan salah laku kewangan berjumlah RM6.5 bilion seperti yang diperlihatkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 hingga memberi kesan negatif kepada ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.

Agensi penilaian, Fitch Ratings sebelum ini telah menukar unjuran kredit Malaysia daripada stabil menjadi negatif, Julai lalu berdasarkan kadar hutang yang semakin meningkat dan kekurangan reformasi belanjawan.

Menurut Guan Eng yang juga Ahli Parlimen DAP Bagan, 53.3 peratus kadar hutang negara kepada KDNK adalah paling tinggi di kalangan 12 pasaran baru muncul di Asia selepas Sri Lanka.

“Dengan jaminan kerajaan, pendedahan kredit kerajaan berada pada kadar 70.2 peratus daripada KDNK pada penghujung suku kedua, meningkat berbanding 66.6 peratus setahun sebelum itu. Kadar hutang isi rumah berbanding KDNK pula jauh lebih tinggi iaitu 83 peratus pada 2013, meningkat berbanding 66.7 peratus pada 2004, kedua tertinggi di Asia.

“Jadi adakah Najib bercakap tentang menaikkan harga petrol, gula dan harga barang makanan apabila beliau berbicara mengenai pengurangkan subsidi? Apakah beliau akan melaksanakan tender terbuka untuk mengurangkan kapitalisme kroni apabila berbicara soal menguruskan perbelanjaan secara berhemah?

“Apabila Najib menyebut tentang memperluas tapak percukaian negara, adakah beliau bercakap tentang melaksanakan cukai GST sebanyak 7 peratus yang disebut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dapat memberi pulangan RM27 bilion setahun?

“Ini akan membebankan setiap seorang dari 28 juta rakyat sebanyak RM1000 seorang setiap tahun,” katanya. -Roketkini.com