Berita

Isu kalimah Allah: reaksi pemimpin Sabah, Sarawak dan cerdik pandai Islam

KOTA KINABALU, 17 OKTOBER: Keputusan Mahkamah Rayuan melarang penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan Katolik, The Herald edisi Bahasa Kebangsaan telah menimbulkan kemarahan khususnya bagi penganut agama itu di Sabah dan Sarawak.

Melahirkan rasa kecewanya Setiausaha DAP Sabah Dr Edwin Bosi berkata pengharaman itu amat tidak wajar kerana perkataan Allah digunakan oleh penganut Kristian negeri itu sejak zaman berzaman terutamanya bagi masyarakat Bumiputera.

“Bagi kebanyakan gereja kawasan Bumiputera, sejak dahulu lagi kami menggunakan Bahasa Malaysia dalam acara keagaamaan.

“Bila perkataan Allah digunakan sejak sekian lama, bagaimana pula ada hujah berkata bahawa ianya bukan sebahagian dari kepercayaan kami?,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Perundangan Dayak DAP Sabah.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kapayan itu, pengharaman penggunaan perkataan Allah ini sekaligus mencalar imej Malaysia sebagai sebuah negara yang moderat dan terbuka.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP Dr John Brian Anthony menyeru agar seluruh pemimpin Dayak yang beragama Kristian meletak jawatan dari Barisan Nasional (BN) untuk menghantar mesej jelas bahawa negara ini adalah milik bersama.

“Ini merupakaan saat yang sedih untuk Malaysia apabila Perdana Menteri sendiri terlalu lemah dan tidak berupaya menyatupadukan masyarakat,” katanya lagi yang juga Ahli Majlis Perundingan Dayak DAP Sarawak.

Dalam perkara berkait, Ahli Parlimen PAS Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa dalam laporan media sebelum ini berkata keputusan terhadap majalah mingguan Katolik itu merupakan manifestasi desakan kumpulan-kumpulan ekstremis.

“Ia menunjukkan dialog antara agama semakin mundur di negara ini. Kita lihat, banyak liputan dari media kerajaan mewakili pandangan dari kumpulan berhaluan kanan yang ekstrem,” kata beliau.

Mujahid menjelaskan, kumpulan ekstrem ini merupakan kelompok manusia yang tidak dapat memahami keperluan hubungan antara agama.

“Mereka diberi perhatian seolah-olah mereka mewakili keseluruh masyarakat (Islam), yang tidak sepatutnya begitu,” kata beliau.

Beliau pada masa yang sama tidak bersetuju terhadap pendapat yang mendakwa pengharaman penggunaan perkataan Allah itu dibuat dengan alasan akibat ancaman pengembangan agama ke atas orang Islam.

“Adakah kita cuba gambarkan seolah-olah Islam adalah agama yang lemah?

“Orang Islam harus melindungi agama lain untuk memastikan kebebasan beragama. Kita sepatutnya menunjukkan contoh bahawa tiada paksaan dalam Islam,” katanya kepada media.

Sementara itu, ulama dan intelektual Islam tersohor Dr Mohd Asri Zainal Abidin pula dilapor berkata, penggunaan perkataan Allah oleh masyarakat Kristian di tanah Arab tidak langsung menjadi isu sejak awal zaman pengembangan Islam.

“Sejak seribu tahun lalu, sejak zaman Nabi Muhammad lagi mereka menggunakan perkataan Allah,” kata bekas Mufti Perlis itu. – Roketkini.com