Berita

Kalau siling runtuh kali ke empat, Subramaniam kena letak jawatan – Nie Ching

KULAI, 18 OKTOBER: DAP mahu Menteri Kesihatan, Datuk S Subramaniam meletakkan jawatan sahaja jika berlaku sekali lagi insiden siling runtuh membabitkan Hospital Serdang.

Ini kerana, insiden siling runtuh Hospital Serdang sebanyak tiga kali untuk tiga tahun berturut-turut yang menelan belanja wang rakyat sebanyak RM690 juta amat memalukan malah hampir sahaja menyebabkan kecelakaan yang lebih besar dan mencemarkan imej negara di mata dunia.

Ahli Parlimen DAP Kulai Teo Nie Ching dalam gesaannya terhadap menteri itu berkata, kejadian siling runtuh sehingga tiga kali itu memperlihatkan Kementerian Kesihatan sambil lewa dan tidak mengambil sebarang pengajaran.

“Pertama kali berlaku insiden ini, masa di Parlimen saya telah menyoal dan meminta Menteri Kesihatan ketika itu Datuk Seri Liow Tiong Lai supaya memberi jaminan bahawa tidak akan ada lagi insiden siling runtuh dan beliau kata bahawa RM800,000 akan dibelanjakan untuk pembaikan siling seluas 2500 meter itu.

8DEC teonieching 2“Beliau juga berkata bahawa Kementerian Kerja Raya akan menjalankan siasatan terhadap punca berlakunya keruntuhan,” katanya.

Bagaimana pun kata Nie Ching, pada 13 Ogos 2012, hospital yang sama mengalami insiden yang sama buat kali kedua yang telah menyebabkan tiga jururawat dan seorang pegawai perubatan wanita di Jabatan Kecemasan cedera.

Lebih malang, setahun selepas insiden kedua berlaku, kejadian keruntuhan siling berulang sekali lagi di luar wad bersalin pada 30 September 2013.

“Jaminan yang serupa telah diberikan Menteri Kesihatan yang baru Datuk Seri Dr S Subramaniam yang berkata Kementerian Kesihatan akan membuat pemeriksaan yang menyeluruh terhadap struktur siling dari segi kontraktor, spesifikasi pembinaan dan kerja penyelenggaraan untuk mencari sebab-sebab keruntuhan secara terperinci.

“Sebab itu pada kali ini kita mencabar menteri itu menunjukkan tekad dan bertanggungjawab dengan menandatangani surat akujanji. Jika berlaku keruntuhan siling untuk kali keempat, menteri harus meletakkan jawatan,” katanya.

Hospital Serdang baru memulakan operasinya sejak Disember 2005 dengan kos pembinaan sejumlah RM690 juta. Bagaimana pun, ia telah mencacatkan keyakinan awam apabila berlakunya tiga kali insiden siling runtuh. – Roketkini.com