Berita

Karpal serah memorandum, mohon Agong tidak perkenan undang-undang zalim PCA

KUALA LUMPUR, 18 OKTOBER: Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor, Karpal Singh hari ini menyerahkan memorandum kepada Yang Di Pertuan Agung, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah untuk memohon baginda supaya tidak memberi perkenan kepada pindaan Rang Undang-Undang Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959.

Memorandum itu telah diserahkan kepada Setiausaha Kanan Yang Di Pertuan Agong, Zubir Abdullah di hadapan pintu Istana Negara, petang tadi.

Menurut Karpal, baginda mempunyai kuasa untuk berbuat demikian berdasarkan Perkara 66(4) Perlembagaan Persekutuan iaitu: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah dalam masa tiga puluh hari selepas sesuatu Rang uUndang-undang dikemukakan kepadanya memperkenankan Rang Undang-undang itu dengan menyebabkan Mohor besar dicapkan pada Rang Undang-undang itu.”

Perkara 66 (4A) pula memperuntukkan: “Jika sesuatu Rang Undang-undang tidak diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Aging dalam masa yang ditentukan dalam Fasal (4), Rang Undang-undang itu hendaklah menjadi undang-undang apabila habis masa yang ditentukan dalam Fasal itu mengikut cara yang sama seolah-olah dia telah memperkenankannya.”

“Saya dengan hormatnya menyatakan bahawa Tuanku diberi kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan untuk tidak memberi perkenan terhadap Rang Undang-undang berdasarkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan mengikut Akta Perlembagaan (Pindaan) 1994.

Menurut Karpal, walaupun mendapat bantahan yang meluas dari orang awam serta dibantah keras di Dewan Rakyat, pindaan yang akhirnya diluluskan juga itu amat dikesali.

“Saya menggesa Tuanku berbuat demikian sebagai tanda protes kepada pindaan itu yang bersifat kuku besi, serta mencabuli undang-undang dan hak asasi manusia,” katanya sambil menyifatkan Yang Di Pertuan Agong sebagai kemuncak atau apex Parlimen.

Karpal yang juga Pengerusi Kebangsaan DAP menegaskan walaupun selepas pindaan pada 1994, perkenan diraja untuk semua Rang Undang-Undang yang diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah menjadi satu perkara pasti.

“Demi kepentingan awam, Tuanku tidak perlu untuk memperkenan Rang Undang-Undang itu kerana ianya jelas bersifat draconian.

“Pindaan PCA ini telah kembali kepada penahanan tanpa bicara yang bertentangan dengan Kedaulatan Undang-Undang dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

“Tiada semakan dan imbangan (check and balance) yang mencukupi dalam pindaannya,” katanya.

Katanya lagi, Tuanku juga harus meneliti pindaan PCA yang turut bertentangan dengan kepentingan negara.

“Tuanku perlu berbuat demikian untuk membei intipati dan semangat kepada kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia,” ujarnya.

Usaha pimpinan Pakatan Rakyat (PR) baru-baru untuk mendesak kerajaan tidak meluluskan PCA tidak berjaya baru-baru ini apabila ia tetap diluluskan di Dewan Rakyat melalui undian suara majoriti. -Roketkini.com