Berita

Rupanya PCA belum muktamad, Zahid ‘main wayang’ hina Dewan Rakyat

PUCHONG, 18 OKTOBER: Tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata kerajaan bersedia membuat beberapa pindaan ke atas Akta Pencegahan Jenayah 2013 (PCA) selepas mengambil pandangan beberapa NGO dan Majlis Peguam merupakan satu penghinaan besar terhadap Dewan Rakyat.

Menurut Ahli Parlimen DAP Puchong Gobind Singh Deo, menteri itu sepatutnya memaklumkan kepada Dewan Rakyat terlebih dahulu bahawa cadangan pindaan itu belum muktamad.

“Paling membimbangkan kita, nampaknya Dewan Rakyat telah dikelirukan untuk meluluskan undang-undang zalim walaupun perkara itu rupanya masih perlu diperbincangkan dan belum muktamad.

gobind mug“Ini jelas bahawa menteri tahu apa yang dibawa ke Dewan Rakyat bukan sahaja tidak berperlembagaan tetapi penuh cacat-cela,” kata Gobind dalam satu kenyataan.

Ketua Biro Undang-undang DAP itu berkata situasi yang berlaku ini menunjukkan negara berada dalam satu keadaan bahaya yang tidak sepatutnya berlaku.

“Bayangkan kalau kerajaan meluluskan satu lagi peruntukan undang-undang yang membawa kepada hukuman mati dan hukuman telah dijatuhkan. Tetapi, rupa-rupanya ia masih dalam proses perbincangan dan kemungkinan akan dipinda pula, bukankah ini amat zalim?

“Sekarang akta zalim ini membenarkan penahanan tanpa bicara. Kita tertanya-tanya apa yang Zahid akan lakukan sekarang. Azakah beliau akan menangguhkan penguatkuasaan akta ini sementara menunggu keputusan muktamad?

Atau, adakah apa yang berlaku ini satu drama semata-mata untuk menaikkan populariti beliau menjelang Pemilihan Agung UMNO akan datang?,” soalnya lagi. – Roketkini.com