Rencana

Tanpa UMNO, apalah nasib nelayan (Bahagian 1) – Oleh Mahdzir Ibrahim

SETIAP kali musim pilihan raya atau pemilihan parti, UMNO akan jadi juara Melayu sejati, juara yang dizahirkan dengan slogan.

Saya tidak berminat untuk membuang masa melayan aktiviti kepartiannya, sebaliknya apa yang ingin saya utarakan di sini adalah UMNO sebagai parti yang memerintah (baca:kerajaan). Maka, isunya apa kerja UMNO sebagai kerajaan?

Dana dan bantuan

Selama ini, kita dapat lihat limpahan dana untuk membantu rakyat khususnya golongan Bumiputera. Antaranya agensi TEKUN, yang setiap tahun, menerima sekitar RM300 juta untuk membantu ekonomi Bumiputera dan usahawan Melayu.

Malah dalam pengumuman Perdana Menteri untuk memperkasa ekonomi Bumiputera baru-baru ini, tambahan sebanyak RM700 juta lagi diperuntukan untuk TEKUN – sahaja, tidak termasuk agensi lain. CEO Tekun baru-baru ini mengesahkan bahawa dana ini untuk ahli UMNO – sahaja, tanpa mempedulikan daripada mana sumber dana itu datang.

Dengan pelbagai dana dan bantuan, umumnya kita akan merasa bahawa kaum Melayu seharusnya tidak perlu lagi merasa risau dan susah mengenang nasib mereka. Malah dengan limpahan ‘dana’ ini pastinya mereka akan segera dapat keluar daripada kepompong kemiskinan menuju kemajuan yang diimpikan.

mazir 1Namun, adakah dengan pelbagai ‘dana’ yang diberikan boleh menjadi indikasi yang jelas untuk merujuk prestasi kerja UMNO sebagai kerajaan berbanding slogan hebatnya?

Jika kita lihat dalam konteks pembangunan sosio-ekonomi negara, nisbah pecahan populasi penduduk Malaysia adalah majoriti kaum Melayu lebih dari 50 peratus, maka secara tidak langsung kaum Melayulah yang paling ramai memburuh dalam banyak sektor, antaranya sektor pertanian dan perikanan.

Jika sektor ini ditinjau, sebagai contoh, dicatatkan sejumlah 109,771 nelayan direkodkan sedang bekerja di atas bot (vessel) menangkap ikan yang berlesen pada 2008 .

Daripada jumlah nelayan terbabit, seramai 52,257 (47.61%) nelayan bekerja di atas vessel komersial (laut dalam kelas B), majoriti nelayan laut dalam ini adalah pengusaha bot besar di kalangan kaum Cina, jumlah mereka tak begitu besar, tetapi dengan modal yang ada maka mereka mampu memiliki bot besar dan mengupah awak-awak yang terdiri daripada buruh asing dan juga kaum Bumiputera.

Manakala selebihnya berjumlah 57,514 orang (52.39%) bekerja di atas vessel yang mengusahakan peralatan menangkap ikan tradisional (nelayan pantai kelas A), yang mana nelayan tradisional ini rata-ratanya adalah Bumiputera yang memiliki bot kecil.

Kenapa bot kecil? Kerana tiada modal lebih untuk memiliki bot besar.

Untuk ini kita ingin bertanya ke mana dana itu diagihkan selama ini?

Sumbangan sektor perikanan

Daripada laporan Jabatan Perikanan Malaysia, pada 2010, sektor perikanan menyumbang sebanyak 1.1% kepada KDNK negara. Pada 2011 juga tercatat sumbangan sektor ini sekitar RM10.62 juta meningkat sebanyak 6.85 peratus berbanding 2010. Daripada jumlah itu, kira-kira 53.71 peratus adalah hasil tangkapan nelayan pantai yang diusahakan oleh nelayan tradisional – Bumiputera.

Berdasarkan statistik agensi kerajaan ini, kita dapat lihat bahawa sektor perikanan ini seharusnya memberi pulangan yang bagus kepada nelayan khususnya nelayan pantai yang terdiri daripada kalangan Bumiputera. Daripada purata 53 peratus jumlah sumbangan ini, jika dinisbahkan dengan nilai RM, bukan sedikit!.

Tetapi mengapa sehingga kini, dengan sumbangan hasil tangkapan ikan yang banyak, dengan dana bantuan yang banyak, nelayan pantai yang Bumiputera ini terus menjadi kumpulan paling miskin di Malaysia selain penanam padi atau pekebun?.

Dana + bantuan + pelaburan

Beberapa faktor dikenalpasti sebagai punca yang menyumbang kepada masalah ini antaranya nelayan pantai (Bumiputera) kekurangan modal untuk membeli bot dan peralatan moden justeru daya pengeluarannya rendah. Termasuk beberapa masalah lain seperti tahap kemahiran serta faktor luaran yang lain.

mazir 3Difahamkan, untuk mengatasi masalah ini kerajaan telah menggunakan pendekatan modenisasi dengan penyediaan bantuan kepada golongan miskin untuk menambahkan aset produktif dan menggunakannya dengan cekap termasuk memodenkan kawasan desa dan mempercepatkan lagi usaha itu, kerajaan menyediakan peluang pekerjaan yang produktif dalam sektor ekonomi.

Dalam aspek penyediaan peluang pekerjaan di kawasan luar bandar khususnya di kampung dan pantai, kini kita dapat lihat bagaimana kerajaan membangunkan kawasan persisir pantai (khususnya) dengan projek mega bernilai billion ringgit. Contohnya projek RAPID di Pengerang dan Tanjung Bin Power Plant di Tanjong Piai.

Projek mega ini sememangnya akan memberi impak besar terhadap ekonomi setempat dan komuniti di sesuatu kawasan itu. Namun, hari ini kita dapat lihat ‘kesan’ pembangunan (projek) mega berkenaan.

Peluang pekerjaan bagaimanakah yang dapat ditawarkan kepada anak watan dalam projek itu? Buruh kasar secara kontrak?

Dan bagaimana pula ‘kesan’ alam sekitar dan sumber marin di kawasan itu?

Kajian Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pada 2012 mendapati berlaku hakisan yang serius iaitu kira-kira satu meter setiap bulan di kawasan pulau hutan bakau di Pulau Kukup. Kawasan ini terletak berhampiran pelabuhan Panjung Pelepas (PTP) dan Tanjong Bin Power Plant. Ia berpunca daripada kegiatan pembangunan di sekitar kawasan sensitive itu. Ini dilaporkan sendiri oleh media masa ‘mesra’ kerajaan UMNO iaitu Berita Harian dan Utusan Malaysia.

Untuk projek ini sahaja (tidak termasuk projek petrokimia yang akan datang), sudah meratah sekitar 235 ekar hutan bakau daripada keseluruhan projek yang dianggarkan seluas 900 ekar.

Hutan bakau ini merupakan rumah atau inkubator untuk ekosistem alam sekitar. Ini bermakna ia adalah kawasan penting bagi pemeliharaan alam sekitar. Ia menjadi sumber marin di kawasan persisir pantai, juga bermakna ia menjadi medan mencari makan oleh hidupan marin dan nelayan pantai.

Tanah di kawasan projek ini adalah tanah pertanian, yang dihuni oleh orang kampung yang berkebun, berladang dan nelayan.

Kerajaan (baca:UMNO) mendakwa bahawa projek pembangunan ini akan dapat memajukan kehidupan masyarakat desa, dan ia datang dengan sokongan penuh penduduk. Namun, kita dapati dakwaan ini agak meleset.

Daripada kajian yang dibuat perunding Worley Parsons 2011 yang diupah sendiri oleh Malakoff (pemilik Tanjung Bin Power Plant), menunjukan kadar penurunan menangkap ikan sepanjang dekad  lalu dilaporkan oleh nelayan, dan kebimbangan ini dibuktikan dengan kehilangan kawasan menangkap ikan tradisional dan pembiakan/kawasan pembiakan akibat kehilangan bakau, penurunan kualiti air dan peningkatan suhu air.

Malah, sebanyak 67 peratus responden yang terdiri daripada penduduk setempat, tidak melihat kesan yang baik daripada projek ini kepada mereka dalam aspek kesihatan, sosial , lalu lintas dan ekonomi.

mazir 2Hanya 29 peratus daripada mereka yang ditemu bual menyatakan positif mengenai peluang pekerjaan langsung dan tidak langsung. Namun, secara kolektifnya, penduduk menyatakan kebimbangan mereka mengenai kemusnahan bakau serta kualiti udara dan air, dan seterusnya kadar penurunan pendaratan ikan.

Ini baru satu senario daripada banyak lagi kawasan nelayan daripada kawasan Pantai Barat, Pantai Timur hinggalah Sabah dan Sarawak.

Semua senario ini membawa kita kembali kepada persoalan pokok iaitu, apa kerajaan UMNO telah buat? Bukan dalam tempoh lima tahun, tetapi lebih daripada 50 tahun yang lalu.

Maka, kita boleh nilai prestasi antara kerja dan slogan UMNO selama ini. Namun, realiti ini masih ada lagi yang berkata “ jika UMNO tak ada, apalah nasib kami kaum nelayan”.

Tinggal niat dan slogan

Dan akhirnya, persoalan mengenai dana bantuan serta pelaburan projek pembangunan yang berniat untuk membantu golongan miskin khususnya nelayan pantai, entah apa jadi.

Ratusan juta dana, berbillion pelaburan yang dibuat masih gagal mencapai matlamat. Itu belum lagi kita sertakan laporan AG mengenai masalah ketirisan dana dan pengurusan kewangan dalam agensi kerajaan yang berlaku berterusan.

Jadi, yang ada hanya tinggal slogan, dan slogan itu semakin nyaring terdengar pada perhimpunan agung UMNO. Barangkali, dengan nyaringnya teriakan slogan ‘Hidup Melayu’ ini, mungkin dapat menyelesaikan masalah rakyat.

Teriakan ini terus nyaring dan bergema. Iyalah, di mana lagi mereka nak bertempik bukan? – Roketkini.com