Rencana

Berakhirkah sudah pengaruh Mahathir? – Oleh Izmil Amri

BELUM. Pengaruh Mahathir belum berakhir. Malah barangkali tidak akan berakhir. Ini hakikat yang kita kena terima dengan hati terbuka. Mahathir memerintah Malaysia selama lebih 20 tahun. Kita membesar dengan mengenali ketokohan manusia ini, yang sampai kini pun ada yang rasa dia masih lagi Perdana Menteri.

Kekalahan Mukhriz dalam lumba merebut jawatan Naib Presiden UMNO tidak bermakna pengaruh Mahathir dan fungsinya dalam hala tuju UMNO sudah berakhir. Bahkan sebenarnya kini semua mata menumpu kepada Mahathir dan anakandanya yang tewas. Bukan kemenangan naib presiden lain yang jadi bahan berita, tetapi kekalahan Mukhriz yang jadi laporan utama.

Kekalahan Mukhriz jadi perkara yang lebih sensasi daripada kemenangan Zahid Hamidi yang baru seminggu dua lalu kecoh dengan kenyataan pelik yang dibuat di Melaka. Kita pakat lupa belaka dengan apa yang disebut Zahid kerana kita lebih peduli dengan kekalahan Mukhriz.

Ini pelik politik Malaysia. Kita sendiri sebenarnya tidak tahu apa kita mahu. Dan kita buat benda yang bukan-bukan hanya untuk melihat apa kesudahannya nanti.

Kalau UMNO benar mahu dengar kata Mahathir, pastilah Mukhriz yang dilantik, bukannya Hishammuddin. Meski undi popular berpihak kepada Mukhriz, kita juga hampir pasti bahawa UMNO dan juak-juaknya tidak akan mengatakan Mukhriz lebih layak kerana menang undi popular. Itu sama seperti mahu kata Pakatan Rakyat patut jadi kerajaan kerana menang undi popular.

Mukhriz kalah, ya kita semua sudah tahu. Tapi siapa sebenarnya yang menang?

Seperti ada yang ditulis orang, pemilihan UMNO kali ini ialah perlawanan antara penyandang dengan pencabar. Sedikit berat sebelah kerana perwakilan UMNO seringkali memperlihatkan sifat setia dan memberi muka kepada penyandang, tidak kiralah betapa teruknya prestasi sang penyandang.

wanita umnoLihat sahaja bagaimana Wanita UMNO tetap mengekalkan Kak Ijat sebagai kapitannya, meski timbalannya dulu meroyan berkoyan-koyan sedih dipanggil lembu. Sebut saja lembu teringat UMNO, sebut UMNO teringat lembu. Sembelih lembu korban pun berdekah-dekah ketawa sambil pak imam melawak kata tengah sembelih UMNO. Begitu pun dahsyat penghinaan terhadap UMNO angkara ‘lembu’; Kak Ijat tetap juga dipilih kembali menjadi Ketua Wanita.

Lihat pula penyandang jawatan Ketua Pemuda yang segak bergaya. Kemudian lihat pula pembawakan pencabarnya. Aduh, liga berbeza. Macam mana nak lawan? Lalu penyudahnya Khairy kekal di jawatan yang sama. Yang mencabar satus quo akan nanti tercantas dan terhalang kemajuan kerjaya politiknya. Demikian nasib politisi UMNO bergelumang dalam real politiknya yang begitu ganas.

Namun berbalik kepada persoalan pokok. Suara Mahathir tidak akan pernah padam, meski anakandanya tidak berjaya. Namun apa yang lebih penting ialah suara apa sebenarnya yang mahu dibawa Mukhriz sekiranya berjaya menjadi Naib Presiden? Kita pastinya masih teringat kepada sidang media Mukhriz beberapa hari sesudah berakhirnya Pilihan Raya Umum Mac 2008 yang menyaksikan Pak Lah seakan linglung dan ngawur seketika setelah kehilangan majoriti dua pertiga.

Mukhriz antara yang kelihatan begitu terkedepan menuntut Pak Lah bertanggungjawab atas kekalahan dan aib yang ditanggung UMNO lantaran keputusan PRU Mac 2008 itu. Kita juga pasti masih ingat akan kain rentang yang mendesak supaya Pak Lah meletakkan jawatan.

Pasca 2008 UMNO kelihatan bersungguh-sungguh mahu berubah. Tak mampu reformasi, UMNO cuba transformasi. Transformasinya itu ke arah apa, kita tak pula mengerti.

mic balingMenang sahaja Khairy Jamaluddin jadi Ketua Pemuda, terbitlah dua tiga kerat yang berkata hubaya hubaya, jaga-jaga dengan liberalisme bakal menular UMNO? Jenuh juga saya garu kepala, rupanya ada liberal dalam UMNO, tapi liberal yang ini bagaimana rupa bentuknya? Adakah liberal UMNO ini pro LGBT? Kita tidak tahu.

Jadi kalau mahu berfikrah liberal dalam UMNO juga jadi berdosa, maka transformasi yang diimpikan Najib Razak ini quo vadis sebenarnya? Dari mana datangnya dan ke mana ia mahu pergi? Adakah masih harus bergantung kepada wahyu Mahathir baru jelas hala tuju parti Melayu ini?

Itu juga kita tidak tahu.

Apa yang kita tahu ialah pemilihan UMNO kali ini ialah pemilihan yang tidak punya banyak pergulatan. Presidennya tidak berlawan sesiapa, Timbalan Presidennya tidak berlawan sesiapa, dan penyandang yang lainnya juga seolah-olah tidak berlawan sesiapa. Seolah-olah pemilihan UMNO kali ini bertujuan mencantas siapa yang mereka tidak suka, ketimbang memilih siapa yang sepatutnya berada dalam pucuk pimpinan dalam rangka menuju PRU ke-14.

Ini yang tidak dijelaskan kepada orang UMNO. Atau barangkali sengaja tidak dijelaskan supaya undi tidak beralih hala selain kepada penyandang semata-mata demi mengekalkan status quo serta saf kepimpinan yang sehingga saat ini masih gagal menunjukkan apa sebenarnya agenda perubahan atau rangka kerja baru untuk Malaysia yang lebih baik.

Dan Malaysia yang lebih baik sebenarnya adalah Malaysia yang bebas daripada nasihat dan bisikan Mahathirisme.

Membebaskan Malaysia daripada Mahathir bukan kerja mudah. Bahkan amat renyah sekali kerana Mahathir seakan sepohon kayu rendang yang cabang dahannya merimbun litup sekalian ceruk; akarnya pula mencengkam seawal Tunku mahu dijatuhkan.

Jadi barangkali harus dicantas sahaja anasir utama yang menjadi tunjang kewujudan Mahathir dan bisikan halusnya. Ya, Mahathir tidak akan hilang selagi ada UMNO. Maka harus terus lawan UMNO. Ya, itulah dia.-Roketkini.com