Berita

Khalid diminta jelas kenyataan ‘lebih utamakan rakyat berbanding pemimpin politik’ – Gobind Singh

KUALA LUMPUR, 21 OKTOBER: Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo mendesak Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan maksud kenyataan beliau yang lebih utamakan kritikan rakyat daripada pemimpin parti dan ahli politik.

Akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan bahawa Abdul Khalid menegaskan beliau terbuka mendengar dan menerima sebarang kritikan, namun hanya akan memberi lebih perhatian jika teguran itu datangnya daripada rakyat.

Khalid dilaporkan berkata sedemikian sebagai tindak balas berhubung kritikan Ketua Pembangkang Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap urus tadbir Kerajaan Negeri Selangor.

“Memang kita dalam Pakatan mengutamakan rakyat tetapi Abdul Khalid mesti menghormati fakta bahawa ahli politik mewakili rakyat dan menjadi tugas mereka untuk membawa masalah rakyat kepada kerajaan negeri dan Menteri untuk menyelesaikannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Gobind yang juga Ketua Biro Undang-Undang DAP turut menegaskan Abdul Khalid tidak boleh mengambil mudah isu itu dan perlu segera menyelesaikannya kerana ia memberi kesan serius kepada parti dan kerajaan negeri.

“Beliau telah membuat kenyataan yang amat serius dan boleh memberi kesan serius.

“Tetapi sebelum saya mengulas lanjut, saya memohon beliau bertindak balas dan menjelaskan perkara ini supaya kita dapat mengenal pasti fakta sebelum bertindak,” ujarnya.-Roketkini.com