Berita

DAP kecam Shabery Cheek, gesa kementerian saman penaja K-Pop

KUALA LUMPUR, 22 OKTOBER: Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengecam kenyataan mengelirukan bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengenai penajaan konsert K-Pop sempena Hari Belia yang membabitkan perbelanjaan RM1.6 juta.

Beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan semalam menyatakan sebuah syarikat berjanji menaja konsert K-Pop tetapi tidak ditunaikan.

Menurutnya, kementerian langsung tidak bersetuju dengan kenyataan Ahmad Shabery bahawa tajaan konsert itu diperoleh oleh Majlis Sukan Negara.

Katanya, tanggungjawab perbelanjaan RM1.6 juta sebagai bayaran kepada artis K-Pop Korea itu tidak sepatutnya ditanggung pihak kementerian sahaja.

tony parlimen 2“Jawapan kementerian menunjukkan bahawa pihak jawatankuasa telah membuat keputusan untuk mengadakan konsert itu walaupun tiada sebarang komitmen kukuh diberi pihak penaja.

“Ini merupakan suatu keputusan tidak bertanggungjawab dan tindakan disiplin atau surcaj perlu diambil. Mereka yang bertanggungjawab tidak boleh mengelak kesalahan dilakukan dengan mengalih kepada ‘keputusan jawatankuasa’.

“Kalau keputusan benar-benar diputuskan secara jawatankuasa tanpa sebarang pimpinan daripada sesiapa, tindakan perlu diambil ke atas semua ahli yang mengambil bahagian,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen.

Pua yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP menegaskan, jika syarikat penaja itu benar-benar memberi komitmen kukuh samada secara lisan atau bertulis, kementerian harus mendesak kos konsert dikembalikan kepada kerajaan.

“Jika syarikat swasta penaja konsert itu enggan akur, kerajaan perlu mengambil tindakan mahkamah kerana janji mulut sekalipun boleh dikuatkuasakan.

“Jika tindakan tidak diambil, ia menunjukkan kementerian yang menuding jari kepada pihak swasta memang sengaja mencari alasan untuk mengelak kesalahan sendiri.

“Manakala, jika perangai membuat perbelanjaan besar diputuskan atas janji kosong kepada semua kementerian tidak dihukum, ini jelas memberi petunjuk bahawa kerajaan sememangnya tidak pernah mengambil berat,” tegasnya.

Beliau turut berharap agar pihak menteri menerima nasihat daripada Ketua Audit Negara untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang didapati bersalah hingga mengakibatkan pembaziran berleluasa sewenang-wenangnya.

“Rakyat sudah bosan dengan pihak kementerian yang enggan mengambil tindakan terhadap sebarang kesalahan dan akhirnya dilepaskan hanya melalui surat teguran semata,” ujarnya. -Roketkini.com